‘Yakin wujud tapi Langkah London patut dirahsiakan’

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Mohamed Hatta Ramli tidak menolak kemungkinan Langkah London membabitkan Perikatan Nasional (PN) dan pimpinan tertentu Barisan Nasional (BN) sememangnya wujud.

Namun, beliau secara sinis berkata, langkah itu sepatutnya dirahsiakan kerana kebocoran rancangan tersebut merosakkan keseluruhan pelan menjatuhkan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya sangat yakin Langkah London itu wujud dan sepatutnya ia dirahsiakan. Kebocoran itu telah merosakkan ‘the whole plan’ (keseluruhan rancangan),” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Akademi Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2023.

Terdahulu, dilaporkan terdapat satu pertemuan rahsia di London, didakwa mengatur gerakan bagi membuat penjajaran semula politik negara dengan antara lain mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Pada Februari 2020, Pakatan Harapan (PH) digulingkan dalam Langkah Sheraton oleh sebahagian besar pemimpin PKR dan Bersatu yang keluar parti untuk bekerjasama dengan BN dan Pas.

Mengulas lanjut Dr Hatta yang juga bekas Ahli Parlimen Lumut berkata, langkah menggulingkan kerajaan PH pada waktu itu walaupun berjaya, tetapi akhirnya dilihat sebagai menggugat kestabilan politik negara.

Beliau berpandangan keadaan itu telah menyebabkan pengundi berasa sangat berang, dan jika ia berlaku sekali lagi, kemarahan rakyat Malaysia tidak akan berpenghujung.

“Kita dah terkena dengan Langkah Sheraton. Orang marah dengan scheme of things. Kalau datang lagi Langkah London, ia menimbulkan ‘un-ending anger’. Kemarahan berterusan kerana datang lagi macam ini,” katanya.

Ini termasuklah senario politik yang berlaku di Sabah apabila BN Sabah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyebabkan kerajaan negeri Sabah yang dibentuk bersama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tumbang.

Mengikut jumlah kerusi yang ada ketika ini, BN memiliki sebanyak 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memiliki 29 kerusi termasuk ADUN Dilantik.

Menurut mantan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, apa yang berlaku itu akan menyebabkan pengundi marah dan tidak gembira.

“Termasuk apa yang berlaku di Sabah. Orang tak gembira, mereka akan marah kerana rakyat dah buat keputusan (dalam pilihan raya). Keraajaan pun sudah berjalan.

“Maka kalau ada usaha itu lagi, saya yakin orang akan marah,” tambahnya lagi.

Baca juga ‘Anwar boleh jauh lebih baik daripada Mahiaddin, Ismail Sabri’

Â