Felda salur bantuan musim tengkujuh RM9.7 juta
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) berjumlah RM9.7 juta bermula bulan ini hingga Mac depan kepada 12,138 peneroka tanaman getah Felda yang layak di seluruh negara.
Setiap peneroka berkenaan akan menerima bantuan bernilai RM800 yang akan disampaikan menerusi tiga fasa.
Fasa pertama bermula pada bulan ini (Januari), fasa kedua pada Februari dan fasa ketiga pada bulan Mac.
Jabatan Komunikasi Strategik Felda dalam kenyataan berkata bayaran fasa pertama serta kedua, masing-masing melibatkan nilai RM300 manakala fasa ketiga RM200.
Semua bayaran tersebut akan dibuat secara terus ke akaun bank peneroka terlibat.
Peneroka tanaman getah yang layak terdiri daripada mereka yang menghantar hasil ke pusat mengumpul getah Felda.
Selain itu, peneroka yang tiada hasil kerana isu buruh atau serangan penyakit pokok getah dan dalam tempoh tanam semula bersama Felda.
Bantuan diharap dapat meringankan beban peneroka tanaman getah yang terjejas ketika musim tengkujuh serta mencerminkan komitmen Felda untuk terus memberikan bantuan secara bersasar kepada kategori peneroka yang terkesan.
Â