Lebih baik salur dana bagi kajian denggi bukannya Covid-19
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye menegaskan bahawa kerajaan tidak sepatutnya melabur dalam pembuatan vaksin Covid-19.
Menurutnya, pembangunan vaksin bagi wabak menyerang dunia itu adalah luar biasa dan dibangunkan dalam tempoh hanya setahun dengan penglibatan pelbagai agensi seluruh dunia.
Justeru, beliau berkata, duit kerajaan lebih wajar untuk membangunkan kajian berkaitan usaha memerangi penyakit bawaan nyamuk.
“Lebih baik duit disalurkan untuk kajian penyakit lain seperti malaria atau denggi. Kajian penyakit tempatan ini lebih baik kerana tidak perlu bersaing dengan negara luar.
“Tambahan pula, kita ada kelebihan sebab ia memang sudah ada di negara kita. Sepatutnya, tumpu kepada keupayaan kita.
“Ini tidak. Kita masuk dalam arena yang pemain-pemain industri sudah pergi jauh dalam bidang ini (vaksin Covid-19),” dipetik daripada temuramah dimuatkan dalam Mingguan Malaysia hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Gopeng itu berkata demikian selepas diminta mengulas usaha Malaysia sebelum ini membangunkan vaksin Covid-19 melalui kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dalam hal berkaitan, denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia walaupun ketika pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor memaklumkan kumulatif kes demam denggi hingga 24 Disember 2022 adalah 64,078 kes.
Dalam tempoh sama, terdapat 50 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian pada tahun 2021.
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menggesa masyarakat agar melakukan aktiviti gotong-royong bagi memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes seterusnya mengurangkan kes jangkitan demam denggi.
Menurutnya, nyamuk Aedes dapat terbang sejauh 200 meter dari tempat pembiakan sekali gus menjangkitkan denggi kepada individu jika nyamuk itu membawa virus tersebut.
Baca juga Tiada akta khas penyebab kempen ekstremis berleluasa
Â