Najib dilihat terus berjuang untuk kekal relevan

Bagi mana-mana peguam kecuali peguam Najib iaitu Tan Sri Shafiee Abdullah, tindakan Najib melalui peguam dia merujuk kes dia kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat mempunyai harapan senipis biji kapas.

Dari sudut politik pula, para ahli politik merasakan tindakan Najib itu tidak lebih daripadagimik politik agar dia dilihat kekal relevan setelah kini dia ibarat hanya sebuah nota kaki dalam mana-mana karya penyelidikan bersifat akademik atau semi-akademik.

Bagaimanapun kita harus memuji kreativiti peguam dia.

Najib kini memfailkan petisyennya kepada sebuah agensi yang dikenali sebagai UNWGAD iaitu Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB bagi meminta agensi pertubuhan itu membebaskan dia atau membicarakannya semula.

Alasan utama petisyen itu kononnya dia telah menjadi mangsa kepada penahanan arbitrari oleh lima orang Hakim Mahkamah Persekutuan yang dia rasa telah gagal memberikan haknya untuk dibicarakan secara adil.

Untuk rekod, tidak ada seorang pun hakim – bermula dari hakim bicara di mahkamah tinggi hingga tiga orang hakim di Mahkamah Rayuan dan lima hakim Mahkamah Persekutuan – yang mempunyai keraguan Najib bersalah.

Dalam bahasa yang agak kasar orang habaq ” Najib is guilty as hell!”

Agak menarik juga apabila Najib boleh terfikir untuk membuat petisyen dia ke UNWGAD iaitu sebuah badan yang ada kaitan dengan isu hak asasi manusia seperti isu penahan secara arbitrari (arbitrary detention) seolah-olah dia ditahan di bawah ISA dan dibicarakan di bawah SOSMA.

Maaf, agak ironi juga apabila Najib “has the audacity” untuk mengadu tentang penahanan secara arbitari.

Padahal, penahanan dia dibuat berasaskan satu hukuman jenayah yang dilakukan melalui saluran perbicaraan dan rayuan di mahkamah undang-undang (court of law).

Secara mudah dan ringkas, UNWGAD ditubuhkan atas resolusi 1991/42 oleh bekas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di PBB.

Antara lain, badan tersebut diberi mandat untuk menyiasat kes-kes pelucutan kebebasan yang dikenakan secara arbirtari mengikut standard antarabangsa seperti yang digariskan misalnya di Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) atau instrumen antarabangsa yang lain.

Jika kita lihat kepada UDHR, boleh dikatakan ada tiga artikel di dokumen tersebut yang mungkin relevan dengan aduan Najib iaitu:-

Artikel 9 berkenaan tangkapan atau tahanan secara arbitari atau,

Artikel 10 berkenaan hak samarata berhubung perbicaraan yang adil dan terbuka oleh mahkamah yang adil dan tidak berat sebelah atau

Artikel 11 pula berkenaan hak dianggap tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah.

Dengan penuh hormat, saya tidak nampak dari ketiga-tiga artikel di UDHR itu ada mana-mana hak Najib telah dinafikan.

Malahan, mungkin tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Najib mungkin mendapat lebih banyak hak dan keistimewaan dari mana-mana tertuduh yang lain yang berada di kedudukan dia.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai mantan peguam litigasi, saya tidak fikir Mahkamah Persekutuan akan mungkin memberikan peluang dan kelonggaran (latitudes) sepertimana yang peguam Najib perolehi semasa proses rayuan dia di Mahkamah Persekutuan.

Bagi para peguam, kes Najib dan para peguam dia bukan kes depa tidak diberi peluang tetapi lebih kepada kes depa tidak mahu ambil peluang!

Agak sukar juga untuk menolak dakwaan bahawa segala yang berlaku pada kes Najib dilihat seperti kes “a self inflicted blow”.

Dengan konsep “non inteference of domestic affairs” yang boleh dilihat tersemat rapi di Artikel 2 (7) Bab 1 Piagam PBB, peluang petisyen Najib untuk didengar oleh UNWGAD meskipun tidak mustahil tetapi dilihat hampir mustahil!

Baca juga Bila kita hanya ada tukul besi sahaja! 

 

*HANIPA MAIDIN merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang Undang).