RM100 juta bagi 260 projek pengindahan Kuala Lumpur

Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM100 juta bagi 260 projek pengindahan bandaraya Kuala Lumpur selaras dengan usaha untuk menjadikan ia sebagai bandar metropolis bertaraf antarabangsa.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah mengenal pasti 260 kawasan untuk dibangunkan semula.

Menurutnya, langkah itu juga dibuat susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk menghijaukan ibu kota berkenaan.

“Sejak Perdana Menteri mengarahkan DBKL untuk mengindahkan dan menghijaukan ibu negara pada hujung bulan lalu, DBKL dengan segera mengenal pasti 260 projek pengindahan.

“Antaranya, kerja-kerja yang telah dirancang termasuk naik taraf dan meningkatkan kebersihan tandas awam di Kuala Lumpur, menaik taraf 20 daerah perniagaan di sekitar Kuala Lumpur, menaik taraf tujuh pusat penjaja, menaik taraf lorong belakang, mengecat semula pangsapuri-pangsapuri DBKL,” katanya menerusi ciapan Twitter KPKT.

Jelasnya, usaha terbabit termasuk pemasangan lampu jalan LED dan solar, menaik taraf dan mengindahkan kawasan tarikan pelancong utama, mewujudkan lebih banyak laluan pejalan kaki dan menambah baik pengangkutan awam sedia ada.

Dalam pada itu, Kor Ming juga memaklumkan, kerajaan telah meluluskan permohonan DBKL bagi menambah pengangkutan bas elektrik percuma bagi tahun ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri memberi tempoh selama tiga bulan kepada DBKL untuk mengemukakan pelan baharu untuk mengindahkan ibu negara.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, pelan baharu tersebut perlu turut mengambil kira sama hak dan keselesaan penjaja dan peniaga kecil untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Baca juga Felda salur bantuan musim tengkujuh RM9.7 juta