15 rumah di Ampang Jaya berhampiran kawasan tanah runtuh tidak selamat

Sebanyak 15 rumah di Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya dikesan tidak selamat untuk didiami penduduk di situ susulan tragedi tanah runtuh, Mac tahun lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata kesemua rumah itu berada di atas kawasan tebing tapak runtuhan.

“Ini berdasarkan laporan teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga disokong Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bahawa memang tidak selamat,” katanya dalam sidang akhbar

“Kita kena faham, rumah-rumah ini berkait antara satu sama lain tapak dia sebab ini kawasan tambakan. Kalau bahasa teknikal dipanggil ‘raft foundation’.

 

Terma tersebut merujuk kepada rumah yang dibina secara berkait di bahagian tapak. Dari jauh ia kelihatan seperti rakit.

Beliau turut menyatakan bahawa penduduk tidak boleh lagi menetap di situ dengan selamat dan langkah susulan untuk penduduk yang terkesan akan diteliti oleh kerajaan kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini selepas meninjau lokasi kejadian tersebut.

Izham menambah, apabila diisytiharkan kawasan rumah itu tidak selamat, ia bermakna proses pemindahan penduduk perlu dilakukan.

“Kena faham ada mereka ini berkongsi tapak di kawasan 15 rumah ini.

“Jadi, sebarang pergerakan pada tanah itu, maka semua akan terkesan dan memang ada kesan. Saya tengok keretakan besar dan memang sebenarnya tidak sesuai dihuni lagi.

“Berkaitan ini, kita akan bincang dengan penduduk macam mana langkah susulan daripada pihak mereka (penduduk),” katanya lagi.