Anwar saksikan majlis pertukaran MoU RM1.66b syarikat Malaysia – Indonesia

Lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara jiran membuahkan hasil memberansangkan apabila 10 syarikat Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan ibu negara baharu Indonesia di Kalimatan Timur.

Majlis pertukaran memorandum itu diadakan petang semalam susulan lawatan rasmi dua hari Anwar ke sana.

“Menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan surat niat (LoI) antara syarikat Malaysia dan Indonesia sebaik tiba di Jakarta.

“Menerusi kerjasama ini, Malaysia secara rasmi menyatakan hasrat untuk terlibat sama dalam pembangunan ibu kota baharu Indonesia, Nusantara.

“Hasrat berkenaan disuarakan 10 syarikat Malaysia menerusi 11 LoI.

“Sembilan MoU turut diserahkan pada majlis petang tadi, melibatkan sejumlah RM1.66 bilion,” katanya dalam catatan di media sosial.

Majlis yang diadakan di Hotel Grand Hyatt Jakarta itu dihadiri Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi serta Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zamri Abdul Kadir.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB), menurut Anwar berhasrat meneroka peluang untuk terlibat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di republik berkenaan.

Pada sebelah malamnya pula, Anwar mengadakan sesi dialog dan makan malam bersama diaspora Malaysia di Indonesia bertempat di Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Dalam pertemuan itu beliau menegaskan Malaysia mesti bebas dari gejala ketamakan elit penguasa dalam memunggah dan menggondol kekayaan serta khazanah negara mengenyangkan tembolok sendiri.

“Saya tidak akan berkompromi dalam soal ini, meski ia mungkin akan merisikokan kedudukan saya.

“Kita sudah lelah dengan watak-watak yang menjerit perjuangkan Islam tetapi mengkhianati tanggungjawab yang diamanahkan dan menggunakan kuasa untuk merampas hak yang bukan milik mereka.

“Adalah menjadi hasrat saya untuk memartabatkan golongan miskin, tidak kira bangsa atau agama sambil memperteguh hak serta keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam pertemuan itu.

Anwar dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Indonesia bermula Ahad.

Beliau dijangka menemui Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini di Istana Bogor.

BACA JUGA Lebih baik salur dana bagi kajian denggi bukannya Covid-19