Disambut Jokowi, PM Anwar Ibrahim tiba di Istana Bogor

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan dua hari ke Indonesia tiba di Istana Kepresidenan Bogor dan disambut oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Ketibaan Anwar Ibrahim disambut dengan 19 das tembakan meriam dan diikuti nyanyian lagu kebangsaan bagi kedua-dua negara iaitu lagu Negaraku dan Indonesia Raya.

Pertemuan ini merupakan acara rasmi dalam lawatan pertamanya ke luar negara dan Indonesia merupakan negara pertama yang dikunjungi selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, November lalu.

Anwar Ibrahim kemudiannya disambut dengan hamparan permaidani merah untuk memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada pasukan keselamatan Presiden seterusnya diperkenalkan oleh Jokowi kepada barisan kabinet serta pegawai utama Indonesia.

Beliau yang lengkap memakai songkok bagi memartabatkan budaya dan tradisi serumpun Malaysia – Indonesia turut memperkenalkan delegasi Malaysia yang hadir pada upacara tersebut.

Turut sama ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Adlan Mohd Shaffieq

Anwar Ibrahim kemudiannya meneruskan acara dengan menanam pokok Merawan di perkarangan Istana sebelum menaiki ‘buggy’ yang dipandu sendiri oleh Jokowi bagi mengelilingi Kebun Bunga Raya Bogor yang telah diasaskan oleh Stanford Raffles seluas 87 hektar dan terdapat 15,000 spesies pokok dan tumbuhan di dalamnya.

Difahamkan juga, Kebun Raya Bogor merupakan taman botanik yang tertua di dunia dan sudah mencecah usia 205 tahun sekaligus mendapat pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sejurus selepas itu, Presiden Jokowi mengadakan pertemuan khas dalam sesi bicara di beranda Istana Bogor, juga dikenali sebagai ‘Veranda Talk’ bersama Perdana Menteri.

Acara rasmi diteruskan dengan kedua-dua pemimpin menyaksikan penyerahan Surat Minat (LOI) bagi penyertaan syarikat Malaysia dalam projek Ibu Kota Nusantara (IKN) oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz kepada Pengerusi Pihak Berkuasa IKN, Bambang Susantono.

Kedua-dua pemimpin dijangka berbincang dan menilai kerjasama dua hala selain meneroka peluang kerjasama baharu.

Semalam, Anwar Ibrahim berkata terdapat 12 perkara yang disenarai untuk dibincangkan.