DUN Terengganu bubar Mac atau Mei, kata Pengarah pilihan raya Pas negeri

Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dijangka akan dibubar sama ada bulan Mac atau Mei tahun ini bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di negeri ini, kata Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman.

Namun, kata beliau, tarikh sebenar untuk dibuat PRN15 Terengganu belum diputuskan lagi tetapi pihaknya memberi jaminan ianya akan diadakan sebelum Jun depan.

“Saya yakin PRN15 dapat diadakan sebelum Jun, dijangka seawal Mac atau selewat-lewatnya Mei ini.

“Jika tidak berlaku PRN pada Mac ini, masa paling sesuai diadakan ialah selepas Aidilfitri pada Mei nanti,” katanya sebagaimana dilaporkan Harakahdaily, laman rasmi parti itu.

HAJI DAN UMRAH

Ariffin  juga mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya pembubaran DUN tidak mengganggu proses menunaikan haji.

“Ini disebabkan penerbangan pertama menunaikan haji pada 21 April depan di mana membabitkan lebih 600 orang sehari berangkat ke tanah suci,” ujarnya.

Sebelum ini, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan jemaah umrah, bakal haji pada ‘dosa besar’ jika mereka tidak mengundi kerana mahu menunaikan haji atau umrah.

Mengulas mengenai pengagihan kerusi katanya, perbincangan sudah diadakan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun keputusan muktamad belum diputuskan.

“Perbincangan untuk mengadakan PRN serentak dengan negeri-negeri terlibat juga telah diadakan dan setakat ini ianya berjalan dengan lancar,

“Dengan sokongan rakyat, kita menaruh keyakinan dapat menawan semua kerusi pada PRN15 nanti,” ujarnya.

 

BACA JUGA ANALISIS: PRN bakal jadi cabaran utama politik Malaysia 2023