Guna kuasa ‘pengguna adalah raja’ cari harga berpatutan
Tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berpendapat rakyat perlu menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna dalam berdepan tekanan inflasi makanan.
Menurutnya, beliau sendiri telah mempraktikkan kesedaran itu dengan memboikot restoran yang mengenakan harga melampau.
“Saya sudah sebulan lebih boikot kedai nasi ayam terkenal di Kuala Lumpur dan Selangor kerana naikkan harga daripada RM9 sepinggan kepada RM11.
“Dah banyak kedai saya tak langgan kerana naikkan harga dengan melampau atau mutu perkhidmatan merosot selepas PKP,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini berhubung gesaan supaya pengguna tidak perlu membeli barang yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.
Rafizi turut berkata, walaupun harga barang makanan dan minuman bukan alkohol terus melonjak tetapi orang ramai terus membeli dan membayar pada harga lebih tinggi yang dikenakan oleh peniaga.
Keadaan itu, jelasnya, sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan harga barangan terbabit.
Mengulas lanjut, Kadir yang juga bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Tun Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri berkata, pengguna sebenarnya masih boleh memilih premis makanan yang menawarkan harga lebih berpatutan.
“Apabila Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, kata pengguna ada peranan dalam pengawalan inflasi, banyak orang belasah dia.
“Boleh jadi mereka (rakyat) tidak pernah dengar frasa ‘pengguna adalah raja’ atau mereka sengaja tidak mahu guna kuasa mereka sebagai pengguna,” katanya sambil memberitahu kadar harga hidangan sarapan di sebuah kedai makan berdekatan KL Sentral.
“Sarapan regular saya seperti dalam gambar di bawah adalah di Kuala Lumpur. Nasi lemak RM2, roti canai RM1.50 dan teh C kosong RM1.80.
“Jumlahnya RM5.80. Kedainya bersih, tauke berumur belum 30 tahun dan pelanggan pelbagai kaum,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Kadir berkata, usah merungut sekiranya makan di restoran ‘kelas kayangan’ kerana pilihan ada di tangan pengguna.
“Kalau kita tidak pilih sangat atau sanggup makan cara ‘marhaen’, masih ada banyak restoran dan gerai yang bersih, harga sederhana dan sedap.
“Tapi kalau makan di restoran berjenama atau di tempat berdarjat, janganlah bersungut kalau harganya mahal.
“Harga semakin mahal tapi ini tidaklah bermakna pengguna tidak ada kuasa atau pilihan langsung,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegur sikap ramai rakyat yang tidak berhemat ketika berbelanja manakala polisi kerajaan pula tidak benar-benar berkesan mengawal peniaga daripada mengaut keuntungan berlebihan.
“Maaf cakaplah kalau saya kata, terlalu banyak pengguna kita tidak berminat menyesuaikan kaedah berbelanja dengan kadar inflasi sehingga memudahkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.
“Kerajaan pula, walaupun sudah berubah parti dan bertukar Perdana Menteri, masih terlalu pro-pasaran dan tidak cukup tegas terhadap ‘profiteering’Â (mengaut keuntungan) oleh golongan peniaga,” tambah Kadir lagi.
Untuk rekod, kenaikan inflasi kumpulan makanan di negara ini kekal sebagai penyumbang utama.
Bagi tahun baharu 2023 ini, ekonomi Malaysia diunjurkan menyederhana antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus kesan ketidakstabilan ekonomi global.
Baca juga Rakyat B40 bakal terima manfaat Payung Rahmah
Â