Islam terancam: Mengapa Pas tidak bertindak waktu jadi kerajaan?

Kenyataan Islam terancam dan perlunya Melayu – Islam bersatu di belakang PN – PAS pada ketika ini menimbulkan persoalan besar terhadap rasionalnya retorik berkenaan.

Bekas Ketua Pejuang Muda Malaysia, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin mengulas isu berkenaan yang diungkapkan dalam tulisan Presiden Pas Hj Hadi Awang baru baru ini, bertajuk ‘Jangan Kecewakan Peranan Anak Muda’ yang beliau sifatkan merbahaya dan memesongkan pemikiran masyarakat awam.

“Sebelum 19 November (2022) kerajaan itu adalah Pas juga bersama di dalamnya. Mereka sejumlah ahli parlimen dan (memegang jawatan) menteri yang penting. Ikut mana diancam itu? Kenapa tidak bertindak (ketika jadi kerajaan)

“Menteri Dalam Negeri ketika itu juga Setiausaha Agung Bersatu merupakan watak penting PN dan hari ini Ketua Pembangkang. Mengapa tidak mengambil tindakan apabila Islam (sekiranya benar) diancam,” katanya.

Abu Hafiz juga menyelar ahli parlimen Marang apabila menuduh Kerajaan Perpaduan kononnya berperilaku di luar tabii dengan mengumpulkan para penyamun dan penyangak untuk membentuk kerajaan.

Katanya, apakah Hj Hadi terlupa kerajaan PN yang dipertahankannya dahulu juga mengumpulkan parti dan ahli politik yang sama.

“Kenyataan di luar tabii ini perlu mencermin Presiden PAS sendiri kerana Langkah Sheraton itu juga luar tabii. Ianya adalah konsep ‘tebuk atap’ yang anda ambil, dan berlaku dengan jelas scheme of things oleh Presiden Bersatu dan Pengerusi PN.

“Umno dan BN itulah jugalah yang anda kumpulkan dalam Langkah Sheraton,” katanya.

Justeru, Dr Abu Hafiz mahu agensi kerajaan bertindak ke atas kenyataan Hj Hadi atau sekurang kurangnya menerangkan kepada rakyat mengenai kekeliruan tulisan berkenaan.

Katanya, amat merbahaya jika kerajaan tidak menjawabnya dan rakyat akan menganggap tulisan Hj Hadi itu benar.

Â