Menteri adakan pemukiman bentang KPI minggu depan – Anwar

Jemaah Menteri akan membentangkan prestasi semasa pentadbiran atau KPI (Key performance indicators) sepanjang 100 hari pertama mereka dalam permukiman yang akan diadakan pada minggu hadapan.

Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi menjawab soalan hadirin pada majlis makan malam anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta malam tadi.

“Seminggu lagi akan diadakan pemukiman menteri untuk para menteri membentangkan pencapaian mereka setakat ini.

“Pada retreat itu mereka boleh membentangkan pencapaian mereka, KPI (yang perlu dipenuhi) dan rancangan pada masa depan,” kata Anwar menjawab soalan apakah yang akan dilakukan dalam tempoh jangka pendek pentadbirannya.

Anwar kini berada di Jakarta bagi lawatan kerja rasminya yang pertamanya keluar negara sejak semalam.

Sebelum ini Kerajaan Perpaduan telah menempuh beberapa peristiwa yang agak mencemaskan seperti tragedi tanah runtuh di Selangor dan banjir besar di Kelantan serta Terengganu.

Bagaimanapun, semua bencana itu berjaya ditangani dengan baik oleh pentadbiran Anwar dan tidak menimbulkan banyak rungutan daripada rakyat.

Di samping, beberapa kementerian pula telah memulakan usaha untuk menangani kos sara hidup rakyat, selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.