MP Petaling Jaya tidak mahu rakyat banyak habis masa di jalan raya

EKSKLUSIF Pelestarian sektor pengangkutan awam yang cekap dan lestari mampu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Petaling Jaya, kata Lee Chean Chung.

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, kehidupan harian masyarakat di bandar yang berlumba dengan masa gagal diurus sebaiknya kerana pelbagai masalah membelenggu kehidupan seharian akibat kesesakan lalu lintas.

“Petaling Jaya semakin maju tetapi penduduknya banyak menghabiskan masa di jalan raya.

“Kesesakan di jalan raya boleh diatasi sekiranya jaringan pengangkutan awam menjadi lebih baik beserta dengan kemudahan awamnya,” katanya kepada HarapanDaily ketika ditemubual.

Menurut pemimpin PKR itu, rangkaian pengangkutan awam di Petaling Jaya akan dipertingkat untuk menambah baik mutu kehidupan rakyat serta bagi mengelakkan mereka menghabiskan masa dalam kesesakan lalu lintas.

Kata Chean Chung, tumpuan terhadap pembangunan fizikal dan infrastruktur di bandar Petaling Jaya sudah memadai dengan pelbagai jenis bangunan.

Namun, jelasnya, ia tidak disertai pembangunan sistem pengangkutan awam yang dapat menghubungkan tempat itu dengan berkesan, cekap dan sistematik.

Selain itu, katanya, jika jaringan pengangkutan awam cekap dan berkesan, ia dapat menggalakkan masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam sekaligus membendung masalah kesesakan jalan raya yang semakin kronik terutama di bandar-bandar besar.

“Akses kepada pengangkutan awam yang berkesan untuk komuniti miskin bandar pastinya suatu langkah penting ke arah pertumbuhan yang inklusif,” tambah Chean Chung lagi.

Baca juga RM100 juta bagi 260 projek pengindahan Kuala Lumpur

Â