Pemimpin Sabah, cukuplah, simpatilah kepada rakyat

Menjelang perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini, pemimpin politik Sabah yang dilihat cuba menggoncangkan politik negeri itu diminta simpati kepada rakyat Sabah.

Mereka juga diminta mencontohi apa yang dibuat oleh kerajaan di peringkat persekutuan sekarang yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk kepentingan rakyat.

Ini kerana, rakyat negeri itu tidak boleh lagi dilihat sebagai patung atau bola yang boleh ditendang ke sana-sini padahal kestabilan adalah sangat perlu untuk Sabah.

Anwar akan bertemu dengan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Nor, Umno pimpinan Bung Mokhtar Radin dan Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal malam ini.

Pertemuan itu disusun oleh Anwar sebaik sahaja beliau pulang dari lawatan singkat ke Indonesia semalam dan hari ini.

Media melaporkan, Bung Mokhtar bertegas, sokongan kepada Hajiji belum pasti lagi walaupun malam tadi beliau (Hajiji) mengumumkan mendapat sokongan dari 44 Adun dari 79 Adun Sabah, majoriti mudah yang cukup untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Dari 44 itu, 29 dari GRS, tujuh dari Pakatan Harapan dan lima dari Barisan Nasional dan seorang dari Pas.

DR MAZLAN ALI… Anwar tunjukkan suri tauladan, ikutlah.

“Saya lihat tidak ada isu sebenarnya di Sabah ini hanya pergelutan peribadi pemimpin di Sabah sahaja bukan isu rakyat,” kata Dr Mazlan Ali, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bagi beliau, Anwar telah menunjukkan suri tauladan yang baik apabila membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan ia patut diikuti oleh Sabah.

“Pemimpin Sabah kena buang isu peribadi sebaliknya utamakan rakyat. Kena fokus masakah rakyat dan negara.

“PM Anwar telah tunjukkan suri tauladan dalam isu ini dan pemimpin negeri Sabah patut mengikuti contoh yang baik ini untuk kepentingan rakyat bukan kepentingan pribadi mereka,” kata Mazlan.

Menurut Mazlan, pemimpin di Persekutuan sekarang terlalu banyak agenda untuk rakyat dan tidak wajar diganggu dengan ketidakstabilan politik yang berlaku di Sabah ini.

Sehubungan itu, beliau yakin pertemuan dengan Anwar malam ini akan menyelesaikan apa yang berlaku di Sabah sekarang.

“Saya lihat kerajaan pimpinan PM Anwar ini memberikan fokus betul-betul untuk rakyat dan telah diterima dengan sangat positif oleh pemimpin dan komuniti perniagaan antarabangsa.

“Mana ada negara yang dilawati oleh pelabur luar untuk melihat peluang pelaburan di negara ini? Biasanya PM dan menteri kita yang kena ke luar negara untuk menarik pelaburan,” kata Mazlan.

Beliau merujuk kepada kunjungan pelabur dari Qatar dan Thailand kepada PM Anwar bagi meninjau peluang pelaburan di negara ini.