PN gagal sebagai pembangkang yang konstruktif
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak mampu untuk mengusulkan idea konstruktif kepada Kerajaan Perpaduan terutama dalam perbincangan ke arah membuat keputusan dan dasar negara.
Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, PN sepatutnya menjadi pembangkang konstruktif dengan bertindak memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan sedia ada.
“Mereka (PN) sepatutnya menjadi pembangkang yang membina, memantau dan juga memberikan idea bagaimana hendak membangunkan negara ini.
“Bagi saya PN tidak bertanggungjawab sepatutnya jadi pembangkang yang konstruktif dan bukannya secara berterusan memainkan sentimen,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemubual semalam.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin menolak tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya dan memilih untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa dalam Parlimen.
Walaubagaimanapun, PN selaku pembangkang hanya berpesta politik dengan memainkan isu-isu perkauman yang menjerumus kepada ketidakstabilan politik di negara ini.
Menurut Chean Chung, adalah menjadi satu keperluan negara ini adanya pembangkang yang berkesan dalam perjalanan politik negara.
Turut ditanya mengenai persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada tahun ini terutama di Selangor, beliau berkata, pimpinan dan jentera parti perlu bertindak proaktif dengan turun padang bagi meninjau dan menyelami isu rakyat dari dekat.
“Kita perlu terus mendengar dan memberi pencerahan kepada pengundi supaya sesuatu perkara itu tidak diambil mudah.
“Ini bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) kekal relevan di mata rakyat dan suara-suara akar umbi didengar,” ujarnya.
Enam negeri akan menghadapi PRN pada bila-bila masa sahaja selepas tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dijangka berakhir tahun ini.
PH kini mentadbir tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sementara Kelantan, Terengganu dan Kedah dikuasai PN.
Baca juga MP Petaling Jaya tidak mahu rakyat banyak habis masa di jalan raya