Duta Besar AS lawat MOSTI bincang perkembangan teknologi

Lawatan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) hari ini membuka peluang kepada bertukar tukar pendapat mengenai perkembangan teknologi semasa.

Menurut Menteri MOSTI, Chang Lih Kang, pertemuan dengan Duta Besar AS ke Malaysia, Brian McFeeters itu dan perwakilannya mengukuhkan hubungan dua hala dalam sektor penting.

“Saya berbesar hati bertemu Duta Besar AS ke Malaysia, H.E. Brian McFeeters dan perwakilannya awal hari ini.

“Kami membincangkan cara untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang, termasuk perubahan iklim, nanoteknologi, ekosistem pemula, bioteknologi, dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi,” katanya.

Menurut Lih Kang, kerjasama dalam bidang teknologi amat penting dalam menangani cabaran global dan memacu kemajuan.

“Kami juga bercakap tentang potensi Malaysia dan AS untuk bertukar pengetahuan dan kepakaran, serta meneroka peluang untuk penyelidikan dan pembangunan bersama.

“Melalui MOSTI, kami mengesahkan komitmen kami untuk memupuk perkongsian yang kukuh dan dinamik dalam sains, teknologi dan inovasi antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau menganggap pertemuan tersebut sebagai produktif dan berharap kedua dua negara dapat bekerjasama untuk mencapai kemajuan dalam bidang sains, teknologi dan industri.