Isu alam sekitar perlu jadi isu masyarakat – Nik Nazmi

Isu alam sekitar tidak wajar hanya berlegar di sekitar kementerian atau jabatan kerajaan sahaja sebaliknya perlu menjadi isu masyarakat.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad semua lapisan masyarakat harus memiliki kesedaran mengenai alam sekitar dan bahana perubahan iklim.

Katanya, beliau bersama kementeriannya telah memulakan usaha untuk lebih mendekatkan masyarakat dengan isu baharu berkenaan.

“Wacana ini sudah mula bergerak atau mulai hidup terutamanya apabila saya bertemu aktivitis-aktivis anak muda dan mereka mengambil perkara ini dengan sangat serius.

“Kalau kita tak buat sesuatu mungkin 2050 atau 2060 keadaan planet kita akan nazak,” katanya pada program wawancara bersama Agenda Awani.

Katanya, pendekatan agak ‘luar biasa’ boleh diperkenalkan bagi membolehkan mesej atau info berkenaan perubahan iklim dapat disampaikan kepada golongan sasaran di bawah.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata maklumat mengenai alam sekitar harus dipermudahkan pemahaman dan penulisannya supaya mudah dihadam oleh rakyat terbanyak.

Sebagai contoh, katanya, khutbah Jumaat di negara ini juga ada menceritakan mengenai alam sekitar tetapi maklumat yang disampaikan adalah terlalu sukar untuk difahami oleh sesetengah orang.

“Saya akan bertemu dan berbincang dengan Menteri Agama, kita perlu mengarus perdanakan biar benda ini betul-betul sampai dan kemudian dihadam di bawah,” ujarnya lagi.

Â