Piala AFF: Masyarakat sambut baik kerajaan sediakan skrin besar

Inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menambah lagi skrin besar menjelang aksi timbal balik separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menentang Thailand malam ini, disambut baik masyarakat.

Dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu, sebanyak 14 skrin disediakan KBS bersama Kementerian Perpaduan Negara untuk penyokong bola sepak tanah air memberikan sokongan.

Bagaimanapun, berdasarkan pengumuman terbaharu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, lokasi skrin besar itu kini telah diperluaskan sehingga ke Labuan.

“Berita baik! Lokasi Big Screen KBSMalaysia telah diperluaskan ke 25 lokasi untuk perlawanan Thailand vs Malaysia esok (malam ini).

“Labuan pun ada. Tolong share dan enjoy!,” tulis Hannah di laman sosialnya pada Isnin.

Menjengah di ruangan komen Facebook milik Hannah hari ini, rata-rata warganet memuji tindakan beliau menyediakan skrin besar untuk rakyat Malaysia sama-sama menonton perlawanan penting itu.

Seorang netizen yang menggunakan nama Putera AD, memberi penghargaan atas usaha menteri Belia dan Sukan itu.

“Seperti dijanjikan, tiada politik dalam sukan. Terbaik YB! Wilayah Persekutuan Labuan pun ada ya,” tulisnya.

Chin Lai Tan pula mengucapkan tahniah kepada Hannah atas dedikasi yang ditunjukkan.

“Syabas Hannah! Masyarakat akan menghargai apa yang anda buat! Menyelesaikan masalah dan cekap bekerja!,” tulis warganet itu di ruangan Facebook Hannah.

Dalam laporan media sebelum ini, KBS menjelaskan pemasangan skrin besar melibatkan aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 yang menemukan Malaysia dan Thailand Sabtu lalu, tidak melibatkan sebarang pertimbangan politik.

Hannah memberitahu, proses tersebut dilakukan dalam tempoh singkat dan melibatkan beberapa pertimbangan.

“Tiada pertimbangan politik dalam lokasi skrin besar. Cadangan penganjuran ini melibatkan lesen hak siaran, dimuktamadkan KBS pada 6 Januari (notis dalam masa yang singkat),” katanya.