Hospital wanita dan kanak-kanak patuh syariah Kelantan di alam bunian
Setelah lima tahun berlalu, tiada khabar mengenai hospital wanita dan kanak-kanak patuh syariah yang sepatutnya dibina di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di Kelantan.
Hospital patuh syariah ialah hospital di mana pesakit perlu membaca doa dan ayat Quran tertentu sebagai ikhtiar untuk memperoleh kesembuhan. Pada masa kini hanya terdapat dua hospital patuh syariah. Satu di Bangi, Selangor dan satu lagi di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Seorang pengguna Twitter, @sirsazly kembali menaikan isu ini dengan menanyakan perkembangan hospital yang sepatutnya siap dua tahun lalu.
Majlis pecah tanah untuk projek tersebut telah berlangsung pada tahun 2018, projek yang bernilai RM100 juta dengan ketinggian lapan tingkat sepatutnya dijangka siap pada tahun 2021.
Namun sehingga kini tiada perkembangan dapat diberikan mengenai pembinaan hospital tersebut.
Pengguna Twitter, @AreBhaKhawAlRumi berseloroh kemungkinan projek itu telah siap tetapi dibina di alam bunian.
“2018, jangka siap 36 bulan. Sepatutnya jika projek itu berjalan awal 2019 sekalipun, jangka siap hujung tahun 2021.
“Saya rasa hospital telah siap, cuma lokasi dibina bertempat di alam bunian,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna Twitter menggunakan akaun @RajendranManik8 menyinggung pemimpin Pas mengatakan air bersih pun tidak dapat disediakan tetapi masih lagi mahu menabur janji kononnya akan membina hospital tersebut.
“Pilihan Raya Negeri bakal berlangsung, jadi mulalah menipu orang kampung yang miskin untuk mengundi mereka. Dah 65 tahun memerintah tapi masih tak mampu sediakan air bersih.
“Cakap nak bina hospital patuh syariah, bina dulu stesen bas di Kota Bharu,” katanya.
Pada tahun 2021, pemuda AMANAH Kelantan sendiri telah turun padang meninjau tempat pembinaan hospital di Padang Tembak.
Hazmi Hassan atau dikenali sebagai Jeming menunjukan rakaman keadaan sekitar Padang Tembak dimana tidak ada satu pun pembinaan sedang dijalankan.
Jeming berkata pembinaan hospital itu hanyalah sebahagian daripada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 Pas oleh Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Dr Izani Husin.
“Inilah contoh kepada penyokong dan walaun, pimpinan Pas menjual dan merosakkan agama, mereka sanggup menipu rakyat kerana mahukan undi sahaja.
“Mereka tak kira apa, asal nama boleh menipu dan berkempen, lalu mereka berjanji kepada rakyat Kelantan tapi sebenarnya mereka menipu,” jelasnya dalam video yang dimuat naik di Youtube dua tahun lepas.
Janji Pas Kelantan untuk membina hospital sebelum PRU ke-15 ternyata hanya janji palsu dan janji politik untuk meraih undi orang Islam, tambahnya.
Â