Kemudahan infrastruktur untuk penjaja dan peniaga kecil di KL dalam perancangan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kewangan yang diterajuinya untuk meningkatkan taraf kemudahan infrastruktur dan kemudahan berkaitan khusus untuk golongan penjaja dan peniaga kecil di bandaraya Kuala Lumpur.

DBKL diwakili oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Datuk Seri Hj. Mahadi bin Che Ngah dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Kementerian Kewangan yang tidak dinamakan.

“Perbincangan itu melibatkan cadangan pembangunan dan naik taraf infrastruktur serta fasiliti penjaja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” kata Anwar melalui satu hantaran di pelantar media sosial, Facebook.

“Penjaja dan peniaga kecil merupakan salah satu penyumbang ekonomi negara yang perlu diberikan perhatian agar tidak ketinggalan dalam kepesatan pembangunan di ibu negara.”

Pada minggu lepas beliau turut berkunjung melawat golongan penjaja kecil di Kompleks Makan Tanglin seusai menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Aman.