Sampaikan agenda perjuangan PH melalui media sosial
Agenda perjuangan Pakatan Harapan (PH) dan PKR seharusnya disampaikan secara efektif kepada seluruh rakyat dengan teknologi komunikasi terkini.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata semua kepimpinan, anggota parti dan akar umbi perlu bijaksana menguasai kemahiran serta ilmu pengetahuan mengenai teknologi media sosial bagi dimanfaatkan dalam mengukuhkan gerak kerja parti.
“Semua pimpinan di setiap peringkat perlu meningkatkan keupayaan untuk menguasai media sosial agar agenda perjuangan parti dapat disampaikan kepada rakyat.
“Bukan itu sahaja, kemahiran komunikasi di kalangan pimpinan parti juga harus diperkasakan,” katanya kepada HarapanDaily ketika ditemui baru-baru ini.
Chean Chung yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, penglibatan diri dalam komuniti media sosial juga membantu komunikasi dilakukan dengan lebih lancar dan berkesan.
Katanya lagi, pengetahuan dan kemahiran komunikasi amat diperlukan untuk mencapai kandungan media sosial yang bernilai tinggi serta seterusnya dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Selain itu, beliau turut mengingatkan agar sensitiviti berkaitan kaum dan agama tidak dimainkan dengan sewenang-wenangnya memandangkan PKR merupakan sebuah parti yang berbilang kaum dan agama yang harus dipelihara keharmoniannya.
BACA JUGA Dakwaan minyak masak paket kurang tidak benar
Â