Seorang lagi tokoh Umno nafi ada Langkah London

Naib presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan tuduhan bahawa beliau terlibat dalam komplot Langkah London yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan yang ada.

Beliau yang berada di London baru-baru ini telah menafikan adanya perjumpaan dengan para pemimpin Umno lain untuk membincangkan usaha menjatuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai seorang pemimpin kanan, saya terlibat dalam mesyuarat yang diadakan untukmenentukan samada kita harus menyertai kerajaan perpaduan. Saya sudah bersetuju dengan keputusan parti. Mengapa ada sesetengah pihak yang mengaitkan saya dengan Langkah London?” beliau dipetik berkata di perhimpunan agung Umno hari ini.

Beliau menambah ura-ura sebegini tidak menggentarkan dirinya.

“Kemana saya pergipun, ada cakap-cakap mengenai langkah ini. London terlalu jauh untuk membuka langkah berbanding dengan Langkah Kajang,” beliau berseloroh.

Langkah London merujuk kepada ura-ura bahawa ada naib presiden Umno yang akan menggulingkan presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai langkah pertama untuk menggulingkan kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar.

Langkah Kajang pula ialah langkah yang dimulakan oleh mantan pengarah strategik PKR Rafizi Ramli untuk menjatuhkan mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya Anwar boleh menjadi Menteri Besar.

Sebelum ini, seorang lagi naib presiden dan mantan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri berseloroh dengan menyatakan bahawa beliau dan keluarganya terlibat dalam Langkah Dubai. Ini merujuk kepada percutian bersama keluarganya di Dubai.

BACA JUGA: Ismail Sabri dalam Langkah Dubai