Wacana telur dan ayam perlu holistik

OLEH: SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI

Semalam, Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong ada mencadangkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan YB Mohamad Sabu agar harga siling telur ayam dinaikkan pada kadar RM0.50 sebiji bagi menggalakkan pengeluar tempatan membekalkan lebih banyak telur dalam pasaran berbanding eksport. Wee membawa contoh pengeluar telur ayam tempatan di Yong Peng yang lebih cenderung mengeksport telur ke luar negara termasuk Singapura.

Pada masa yang sama, Wee Ka Siong ada membandingkan penetapan harga siling telur ayam bernilai RM0.41 oleh kerajaan berbanding telur dari India yang boleh didapati dengan harga RM0.50 sebiji. Cadangan ini dibuat ekoran lawatan Mohamad Sabu ke India baru-baru ini.

Saya meraikan semangat wacana yang dibawa oleh Wee Ka Siong. Cumanya, kalau beliau yakin penetapan harga siling merupakan punca kepada kekurangan bekalan telur, mengapakah beliau sendiri tidak kedengaran mencadangkan perkara yang sama semasa beliau berada dalam kabinet pada sesi lalu?

Untuk rekod, pada Julai 2022 Kerajaan telah menguatkuasakan penetapan harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada kadar 45 sen sebiji, manakala gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) sepertimana diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada waktu itu.

Melihat kepada rentetan isu ini, saya kurang pasti sama ada isu bekalan ini dapat diselesaikan dengan menaikkan harga telur semata-semata. Pertamanya, telur adalah sumber protein paling murah bagi rakyat Malaysia. Tentunya sebarang kenaikan kos bukan sahaja akan memberi kesan kepada keluarga B40, malah keluarga M40 juga. Lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak-anak dalam fasa pembesaran.

Untuk rekod, Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketua gabungan politik yang dianggotai Wee Ka Siong sendiri telah menekankan supaya dasar kawalan harga dan subsidi ayam diteruskan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).

Keduanya, kebanyakan penternak membangkitkan isu kenaikan harga input (contoh: makanan ayam) sebagai punca tekanan kos pengeluaran telur. Menurut laporan, subsidi kepada pengusaha telur tempatan masih diteruskan. Mungkin kita perlu meneliti proses pengagihan ini dan mengenalpasti apakah jurang yang perlu diatasi supaya kenaikan kos penternakan dapat ditangani.

Pada hemat saya, isu kekurangan bekalan telur ayam di negara kita adalah jauh lebih rumit dari sekadar berpusing-pusing sekitar hal penetapan harga siling semata-mata. Ia pastinya terkait juga dalam kitaran besar proses penternakan ayam telur termasuklah isu-isu berkaitan harga makanan ayam dan sebagainya.

Formula mencari titik keseimbangan antara kepentingan rakyat untuk mendapatkan telur ayam pada kadar harga yang berpatutan dengan kepentingan para pengeluar telur ayam mesti diusahakan sebaiknya demi solusi jangka panjang.

Sebagai salah seorang ahli Kerajaan Perpaduan juga, Wee Ka Siong tentu sahaja boleh membawa isu ini terus ke perhatian menteri di Putrajaya sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah bulan lalu.

Jika beliau berbuat demikian, mungkin beliau juga boleh turut serta dalam tinjauan Mohamad Sabu ke ladang-ladang penternakan ayam dan pengeluaran telur tempatan sebelum ini pada bulan Disember bagi mendengar sendiri permasalahan yang dialami para pengusaha ayam dan telur.

Penulis ialah naib pengerusi DAP Johor dan mantan ADUN Paloh.