Kenapa kerajaan Selangor tidak endah cadangan kempen Rukun Negara?

Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan kesal cadangan beliau agar kerajaan negeri Selangor membuat kempen Rukun Negara di negeri itu tidak diendahkan.

Dalam kenyataan beliau hari ini, Sany berkata, beliau telah berucap panjang lebar di Dewan Negeri Selangor tentang peri pentingnya kerajaan negeri melaksanakan titah Yang Dipertuan Agong agar untuk menghayati Rukun Negara.

Ucapan beliau itu juga telah dijadikan berita dan klip video mengenainya juga telah tular di media sosial.

“Dalam ucapan itu, saya menyeru agar Kerajaan Negeri Selangor menyambut seruan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu untuk menyemarakkan Rukun Negara di mana-mana sahaja khasnya di sekolah di negeri itu.

“Saya telah mencadangkan agar Rukun Negara ini ditulis dan dipamerkan di merata tempat khasnya di Selangor.

“Ia termasuklah di simpang-simpang, billboard-billboard, mengadakan kursus tentang Rukun Negara, kena adakan taklimat mengenai Rukun Negara dan sebagainya.

“Namun sehingga kini tidak ada sebarang respon atau maklum balas tentang perkara ini,” kata Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat itu.

Ekoran itu, kata Sany, timbul dalam benak beliau apakah kerajaan negeri tidak setuju dengan titah Yang Dipertuan Agong?

“Kerajaan Selangor tidak setuju ke dengan cadangan saya itu,” tanya Sany dalam kenyataan itu.

Bagi beliau cadangan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-rakan Melayu ini sangat relevan dengan keperluan semasa kerana “negara kita digoncang dengan kempen takfiri, perkauman kaum dan agama serta fanatik kepartian semasa kempen PRU-15 lalu.”

Bagi Sany, dengan memahami Rukun Negara terutama di kalangan jenerasi muda akan membolehkan mereka faham apa tugas sebenar mereka untuk negara.

Selepas Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 10 Oktober 2022, satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Yang Dipertuan Agong yang antara lain menggesa “Menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan hidup Rakyat Malaysia.”

Ini ekoran kempen perkauman dan pelampau agama telah menjadi isu besar dalam kempen pilihan raya umum ke 15 sehinggalah hubungan antara kaum dan agama menjadi tegang.

Kempen negatif ini masih berterusan walaupun pilihan raya telah selesai apabila pihak yang menjuarai kempen itu gagal membentuk kerajaan.

BACA JUGA Rukun Negara: Sany Hamzan ceramah dalam Dewan Negeri Selangor