MP Petaling Jaya cadang tubuh Jawatankuasa Pilihan Khas Perubahan Iklim
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung hari ini mencadangkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Perubahan Iklim dan Pembangunan Lestari.
Usul tersebut telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dalam pertemuan yang diadakan hari ini.
Kata Lee, usul penubuhan jawatankuasa itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September tahun lalu supaya Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim ditubuhkan di peringkat Parlimen.
Kata Anwar, perkara itu penting dalam membantu kerajaan merangka satu hala tuju jelas bagi mendepani kemelut perubahan iklim.
Dalam sidang media hari ini, Lee memaklumkan bahawa hasil pertemuan itu mendapat reaksi positif dari Speaker dan dijangka usul berkenaan akan dibawa ke dalam mesyuarat untuk dibincang sebelum sidang Parlimen 13 Februari ini.
“Saya diberikan satu mesej yang amat positif dengan semangat begitu baik daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Saya yakin ada perubahan yang bukan sahaja kuantitatif, tetapi juga perubahan kualitatif yang akan berlaku di peringkat Parlimen.
“Kita akan menunggu pengumuman Yang Dipertua dalam masa terdekat. Jangkaan saya adalah sebelum sidang Parlimen pada 13 Februari ini,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Lee berkata, di samping menerokai pendekatan yang baru untuk menangani perubahan iklim, di sudut lain beliau melihat terdapat keperluan yang mendesak apabila menyaksikan Malaysia tidak terkecuali dilanda beberapa fenomena luar biasa, yang terjadi pada skala tidak pernah dialami sebelum ini.
Jelasnya, peristiwa banjir yang ekstrem berlaku di bandar dan luar desa, malah peristiwa tanah runtuh yang terjadi turut mengorbankan ribuan nyawa, serta merangkul jiwa dan emosi seluruh negara.
“Kita tidak mampu menafikan bahawa di saat negara meniti arus kemodenan, aktiviti pembangunan dan perindustrian yang tidak terkawal turut mengesankan alam sekitar.
“Meskipun berlaku sedikit kepincangan, ianya tetap akan memberi impak yang besar serta menjejaskan daya ketahanan ekonomi, sosial, politik dan keselamatan negara,” katanya
Dalam perkembangan lain, Lee memaklumkan konvensyen PKR peringkat negeri Selangor akan diadakan Sabtu (14 Januari) ini bagi membincangkan isu berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Â