Pengundi Kedah tiada masalah terima DAP

EKSKLUSIF Pakatan Harapan (PH) Kedah berpendapat pengundi di negeri itu tiada masalah untuk menerima DAP di dalam kerajaan negeri sebagaimana yang dibuktikan sejak sedekad lalu.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ketika Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 2018, DAP mempunyai satu kerusi di negeri itu.

Ketika Pakatan Rakyat (PR) menguasai Kedah, DAP juga berada di dalam kerajaan negeri, kata Mahfuz.

Hal itu katanya menunjukkan DAP diterima pengundi.

“Sebenarnya tidak ada masalah kepada pengundi sebab sebelum ini pun DAP diterima sejak kerajaan negeri lalu di bawah pimpinan Mukhriz. Tidak ada masalah untuk DAP berada di dalam kerajaan negeri

“Malah di peringkat Pakatan Rakyat dulu pun DAP berada dalam kerajaan negeri walaupun bukan bertaraf Exco kerajaan, tapi pada waktu itu DAP bersama Pakatan Rakyat,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Harapan Daily baru-baru ini.

Seperti mana dalam Kerajaan Persekutuan yang mempunyai DAP di dalamnya, Mahfuz melihat kehadiran parti itu tidak menghalang undi diberikan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan.

“Seperti mana federal ada DAP, saya rasa tidak ada masalah.

“Saya fikir DAP akan dapat bertahan dalam kedudukan sedia ada, dan ini sudah cukup berikan gambaran bahawa politik Malaysia termasuk di Kedah memerlukan politik majmuk yang menggambarkan (Kerajaan Perpaduan) diwakili semua kaum,” katanya lagi.

Pada PRU14 yang berlangsung pada 2018 lalu, PH berjaya membentuk kerajaan selepas menang 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah, menewaskan PAS (15) dan BN (3).

Namun, berlaku perubahan pada pentadbiran negeri apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH bertindak meninggalkan parti pada Mei 2020 menyebabkan PH kini hanya memiliki 13 kerusi.

Komposisi DUN Kedah ketika ini, menyaksikan Pas memiliki 15 kerusi, Bersatu (6), PKR (5) AMANAH (4), manakala DAP, BN dan Pejuang masing-masing dua kerusi

Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berpandangan bahawa imej baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinetnya selepas menguasai Putrajaya, sedikit sebanyak telah mengubah ‘mood’ rakyat untuk beralih kepada kerajaan.

Beliau berkata, aura Anwar membuatkan ramai ‘celik’ bahawa selama ini momokan Islamofobia yang cuba dipalitkan kepada Ahli Parlimen Tambun itu langsung tidak berlaku .

“Aura beliau sangat baik. Saya melihat walaupun Perikatan Nasional (PN) mengatakan Islam terancam, kedudukan orang Melayu akan tergugat tetapi yang selama ini akur kepada Agong dan Majlis Raja-Raja adalah Anwar.

“Sedangkan PN mengingkari saranan dan titah Agong. Kita lihat masyarakat mula memahami bahawa Raja-Raja Melayu bukan tergugat di bawah PH yang ada DAP. Tetapi dibuktikan dengan keangkuhan PN yang tidak mahu bentuk kerajaan dengan PH seperti saranan Agong,” katanya lagi.

Dalam konteks di negeri Kedah dan latar belakang masyarakat yang kuat beragama, Mahfuz yakin pengundi termasuk ulama-ulama dapat melihat kebenaran dan langkah mempercayai propaganda PN sebelum ini adalah satu kesilapan.

Baca juga: Mahfuz tidak berminat tanding DUN lepas tewas di Parlimen Pokok Sena