PM Anwar datang tapi pemimpin Pas Terengganu tak kenang budi

Sikap pemimpin Pas Terengganu yang seorang pun tidak nampak muka sebagai bangsa berakal budi sewaktu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan kerja ke negeri itu amat mengecewakan.

Tidak hairanlah apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah menyifatkan pihak pembangkang sebagai tidak mengenang budi.

Menurutnya, Anwar yang juga Pengerusi PH terbukti adalah Perdana Menteri untuk semua apabila memperuntukkan RM100 juta kepada Terengganu dan Kelantan yang kedua-duanya merupakan negeri kerajaan Pas.

“Beliau telah dengan cepat mengumumkan pemberian tersebut sebaik sahaja dua negeri tersebut dilanda musibah banjir walaupun pemimpin pemimpin dari parti politik yang menerajui negeri berkenaan sering menyerang beliau.

“Walaupun Anwar berjiwa besar pihak parti pembangkang sedikit pun tidak menunjuk sikap mengenang budi atau sekurang kurangnya meraikan tetamu yang berkunjung ke Negeri Terengganu Darul Iman hari ini,” tegasnya.

Anwar dalam pertemuan dengan penjawat awam di Terengganu hari ini.

Terdahulu, Anwar yang melawat Terengganu menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah pagi tadi.

Sesi menghadap Sultan Mizan itu adalah yang pertama buat Anwar, sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata, tiada seorang pun dalam kalangan pemimpin negeri sama ada Menteri Besar, Exco atau seorang wakil rakyat Pas yang kelihatan di lapangan terbang semasa Anwar tiba mahu pun pulang.

“Kerajaan Melayu Islam jenis apakah yang wujud di Terengganu Darul Iman?

“Inikah budaya dan adat yang patut dicontohi dan dibanggakan oleh rakyat dan generasi muda kita?

PM Anwar hari ini disambut meriah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Bukankankah ada pepatah Melayu yang berbunyi, orang berbudi kita berbahasa? Kami rakyat Terengganu merasa malu atas sikap pimpinan kerajaan Terengganu hari ini terhadap tetamu yang berkunjung bernama Anwar Ibrahim.

“Bukankah Islam mengajak penganutnya untuk meraikan tetamu yang berkunjung dengan layanan baik dan menunjukkan pekerti yang indah?,” soal Pengerusi AMANAH Terengganu itu lagi.

Anwar hari ini dalam lawatannya di Terengganu turut mengadakan pertemuan bersama ketua jabatan dan pegawai kanan Persekutuan di Dewan Senat Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menerusi perkongsian di Twitter, Anwar menyeru penjawat awam bermula di peringkat atasan agar memberi contoh yang baik kepada rakyat dalam memungkinkan perubahan dalam negara.

Dalam masa sama, beliau memberitahu menjumpai banyak kecurangan yang dianggapnya keterlaluan apabila menyemak sejumlah fail di Kementerian Kewangan setakat ini.

“Namun, urusan untuk menyiasat bukan urusan saya. Urusan saya adalah menetapkan dasar dan menegakkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” ujarnya.

Baca juga PM Anwar komited selesai isu MA63

Â