PM Anwar komited selesai isu MA63
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited dalam menyelesaikan isu-isu tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Teknikal MA63 berkata, pengumuman positif oleh Kerajaan Perpaduan mengenai MA63 adalah bagi memastikan penyelesaian isu hak-hak Sabah dan Sarawak dapat diselesaikan dan dilaksanakan dengan jayanya.
Menurutnya, kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai komitmen yang cukup tinggi untuk melaksanakan isu berbangkit berkaitan dengan MA63.
“Komitmen ini seharusnya disambut baik oleh kepimpinan di semua peringkat negeri Sabah dan Sarawak supaya dapat memastikan dengan ‘unity’ (kesatuan) yang ada dapat melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan,” katanya pada sidang media APM di Kajang, Selangor.
Jelasnya, setakat ini dalam tempoh sebulan sudah ada dua pengumuman isu yang telah berjaya diselesaikan menerusi pembentangan memorandum di dalam mesyuarat Kabinet.
Sebelum ini, Kabinet telah bersetuju untuk memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri tersebut dan kebenaran untuk kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menentukan projek prasarana bawah RM50 juta.
Tambahnya, perkara ini diputuskan sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Perpaduan untuk memartabatkan MA63.
Dalam pada itu, ujarnya, Kabinet sudah meluluskan langkah untuk memperkasakan Platform Perundingan Tertinggi sebagai Platform Agenda Tindakan Pelaksanaan Majlis Khas MA63 (MKMA63) menerusi MTPMA63.
Majlis itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri serta membabitkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Pada 19 Januari ini dijangkakan Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kuching, Sarawak.
“Saya juga mengharapkan ada lagi isu-isu tertunggak berkenaan dengan tuntutan Sabah dan Sarawak ini dapat diselesaikan,” tambahnya lagi.