Terkurung, tiada duit semasa PKP, faktor dorong bunuh diri – Doktor perubatan

LAPORAN KHAS

Seorang doktor perubatan berpendapat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang agak panjang tiga tahun lalu membuatkan rakyat rasa ‘terkurung’ sehingga mendorong kepada tindakan mahu mengambil nyawa sendiri.

Berkongsi pengalaman bertemu dengan beberapa pesakit yang mahu menamatkan riwayat mereka sendiri, Dr Hafidzah Mustakim yang berkhidmat di Kelantan berkata, sebahagian besar tindakan mereka ini didorong tekanan perasaan dan masalah dalam kehidupan.

Dr Hafidzah Mustakim

Beliau berkata, ketika Malaysia melaksanakan tempoh PKP yang dikatakan antara paling lama di dunia, pesakit terus-terusan dikurung dan berhadapan masalah kewangan menyebabkan mereka bertindak mahu membunuh diri.

“Mereka tak nampak jalan keluar daripada permasalahan yang dihadapi dan merasakan bunuh diri adalah satu-satunya cara mengakhiri masalah.

“Antara masalah khusus adalah kemurungan yang tidak berupaya ditangani.

“Mereka juga menghadapi cabaran semasa seperti masalah kesihatan, kewangan, terkurung semasa PKP sehingga ramai yang bertindak bunuh diri,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Untuk rekod pada 2020, kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mengenakan sekatan PKP 1.0 selama 45 hari.

PKP 2.0 dan PKP 3.0 pula menyaksikan keseluruhan 114 hari rakyat dikurung.

Pengkritik kerajaan pada ketika itu menganggap siri PKP yang dilaksanakan Mahiaddin sebagai paling lama di dunia sehingga menyumbang kepada lonjakan kes bunuh diri.

Sebanyak 1,660 kes bunuh diri direkodkan sepanjang tempoh PKP pada 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2021.

Kes bunuh diri di negara ini meningkat 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 berbanding 631 kes pada 2020.

Untuk setengah tahun pertama 2022 pula, 467 kes bunuh diri dicatatkan oleh pihak polis, kata bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada 10 September tahun lalu.

Baca juga: PKP yang panjang: Mahiaddin mendapat laba, 1,660 rakyat bunuh diri