Covid-19: Tiga pengajaran dan ujian daripada Allah
Penularan wabak Covid -19 ialah pengajaran daripada Allah SWT dan ia juga merupakan ujian kepada mereka yang beriman, kata Jabatan Agama Islam Selangor di dalam khutbah Jumaat hari ini.
Terdapat tiga pengajaran yang disenaraikan dalam khutbah seperti berikut:
1.Umat Islam hendaklah meyakini segala musibah yang berlaku adalah kehendak Allah SWT untuk menguji hamba-hamba-Nya
2. Umat Islam hendaklah sabar dan terus berdoa kepada Allah SWT dalam menghadapi apa jua ujian daripada Allah SWT.
3. Umat Islam hendaklah mengambil pengajaran daripada ujian Allah SWT dan berusaha untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Khutbah Jumaat tersebut turut memetik Surah al-Baqarah ayat 155 dan surah al-Zumar ayat 10 yang menegaskan perihal ujian dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah SWT.
Surah al-Baqarah ayat 155 adalah seperti berikut:
“Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Surah al-Zumar ayat 10 pula adalah seperti berikut:
“…Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”
Umat Islam turut diseru agar berdoa kepada Allah berdasarkan hadis di dalam Riwayat Abu Daud seperti berikut:
“Doa adalah ibadah”. Kemudian Baginda membaca ayat: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”.
Sejak dua tahun lalu sehingga 7 Jan 2023, lebih lima juta dijangkiti wabak Covid-19 dan 35,000 sudahpun terkorban.