Kerajaan PN era Muhyiddin gagal bendung kematian tragis bunuh diri

ANALISIS: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup berbangga mengungkit bahawa pentadbiran beliau amat prihatin membantu rakyat ketika pandemik Covid 19 melanda negara dengan menyediakan pelbagai jenis bantuan.

Namun membezakan pentadbirannya berbanding usaha pemulihan bersepadu ekonomi yang dilakukan oleh PM Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini amat jauh tersasar.

Pentadbiran Muhyiddin malah sebenarnya gagal dalam menyediakan kewangan secukupnya apabila rakyat dikurung dalam Perintah Kawalan Pergerakan paling panjang tempohnya di dunia, daripada pertengahan 2020 sehingga hujung 2021.

Bukti kegagalan pentadbiran Muhyiddin ini boleh dilihat dengan banyaknya kes bunuh diri yang berlaku pada sepanjang 18 bulan kerajaan beliau sejak Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Sekiranya pentadbiran kerajaan PN ketika itu mampu memberikan penyelesaian terbaik mustahil angka bunuh diri meningkat mendadak.

Berdasarkan perangkaan pihak Polis DiRaja Malaysia, sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM. Ini berbanding 631 kes bunuh diri dilaporkan pada tahun 2020, dan 609 kes pada tahun 2019 ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah.

Malah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga pernah mengakui kes bunuh diri lebih tinggi pada 2020 berbanding 2019.

“Peningkatan dalam kematian akibat kes bunuh diri yang dilaporkan di Malaysia pada 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia beberapa tahun lalu.

Berdasarkan fakta berkenaan di manakah keberkesanannya pakej membantu rakyat atau menyelamatkan ekonomi yang berjumlah hampir RM600 bilion pada era kerajaan Muhyiddin itu dikatakan telah membantu rakyat?

Malah terdapat laporan pakej itu diselewengkan oleh pihak pihak yang dekat dengan teraju kuasa pada ketika itu. Kini sebahagiannya sedang disiasat dan satu demi usahawan yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia didakwa merupakan orang yang dekat dengan pemimpin atasan PN.

Hal itu memperkuat dakwaan skim bantuan Covid 19 tidak sepenuhnya sampai kepada rakyat memerlukan tetapi diselewengkan di tengah jalan.

Namun bagi yang mahu membantu mangsa kemurungan untuk mengelak berlakunya bunuh diri pada waktu ini bolehlah menghubungi talian disediakan kerajaan: Perkhidmatan Sokongan Psikososial Kesihatan Mental (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999 atau WhatsApp 019-261 5999); Pusat jagaan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim (WhatsApp 0111-959 8214); dan Befrienders Kuala Lumpur (03-7627 2929 atau www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia senarai penuh nombor dan waktu operasi)

BACA JUGA Terkurung, tiada duit semasa PKP, faktor dorong bunuh diri – Doktor perubatan