Pemimpin Pas Terengganu usah bohong, PM datang ikut pintu depan
Kenyataan pemimpin Pas negeri Terengganu, Sulaiman Sulong dalam hantaran di Facebook hari ini bahawa lawatan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri itu semalam melalui ‘pintu belakang’ dan tidak dimaklumkan adalah perbuatan yang cuba mengelirukan rakyat.
Menurut bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, kunjungan PM hakikatnya telah pun dimaklumkan terlebih dahulu dan pegawai dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hadir menyambut PM.
“Kunjungan PM ke Terengganu bertujuan untuk mengadap Tuanku Sultan membincangkan beberapa kepentingan rakyat Terengganu, kemudian PM ambil peluang berjumpa pegawai kerajaan seluruh agensi, dia jemput semua untuk mendengar taklimat dan berdialog di UMT sebab Kerajaan Negeri tidak menyediakan tempat yang dikuasai oleh Kerajaan Negeri
“Maklumat kedatangan PM ke Terengganu telah diketahui oleh Kerajaan Negeri sebab itu yang datang adalah SUK, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri tetapi malangnya yang langsung tidak hadir adalah di kalangan ahli politik negeri Terengganu. MB tiada, Exco tiada, wakil rakyat Pas pun tiada.
“Jadi nak kata tidak mendapat maklumat itu adalah bohong, tidak benar. Kalau tidak ada maklumat tak kan Setiausaha Kerajaan Negeri dapat hadir menyambut,” katanya dipetik.
Bagi mantan ADUN Bandar itu, beliau dimaklumkan bahawa Menteri Besar Terengganu ada dalam negeri semalam. Katanya, sekiranya MB tidak dapat hadir maka seharusnya beliau menghantar wakil, sama ada Exco negeri atau wakil rakyat untuk menyambut Anwar.
Sehubungan itu, Azan mengecam sikap MB Terengganu yang tidak menghormati tetamu sedangkan sebelum ini PM telah menghulurkan bantuan banjir RM50 juta untuk menjalin hubungan baik Persekutuan – negeri.
Menurut Azan lagi, langkah tidak menyambut PM itu akan hanya memakan diri pemimpin Pas kerana MB tidak memenuhi protokol mengiringi PM sewaktu menghadap Sultan Terengganu.
“Kebiasaannya apabila PM datang sepatutnya MB mengiringi PM untuk berumpa Sultan, itu adalah amalan biasa. MB mengiringi istiadat menghadap.
“Kita boleh gambarkan MB Terengganu ini tidak menghormati institusi Sultan itu sendiri malah dia menimbulkan satu suasana yang amat tidak baik. Sepatutnya MB iring PM dari segi protokol.
“Ini menunjukkan seolah olah MB sendiri tidak menghormati institusi Kesultanan Terengganu,” katanya lagi.
PM semalam mengunjungi Terengganu sebagai lawatan pertama beliau ke negeri itu selepas mengangkat sumpah jawatan pada November tahun lalu.
Dalam pertemuan dengan pegawai kerajaan di Universiti Malaysia Terengganu, Anwar berkata beliau adalah PM bagi semua rakyat Malaysia yang memberi isyarat tidak akan mendiskriminasikan negeri pembangkang.
BACA JUGA Anak pernah patah kaki akibat tiada pemegang tangga