Rumah Harapan Rakyat N Sembilan terima peruntukan RM10 juta

Meski pun Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai banyak peruntukan namun terus berusaha untuk menyediakan perumahan rakyat skim Rumah Harapan Rakyat (RHR).

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dengan peruntukan RM10 juta sehingga kini sebanyak tujuh buah RHR berjaya disiapkan, sementara 108 rumah lagi sedang giat dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS).

“Rumah berharga RM81,000 dilengkapi dengan tiga buah bilik dan dua buah bilik air dengan keluasan lantai 836 kaki persegi.

“Pemohon hanya perlu membayar pinjaman tanpa faedah sebanyak RM70,000 dalam tempoh 25 tahun, manakala selebihnya akan diberikan subsidi oleh Kerajaan Negeri,” kata Aminuddin

Menurut ADUN Sikamat itu inisiatif perumahan berkenaan yang memberi diskaun sehingga 15% menerima permintaan yang sangat tinggi dari rakyat khususnya di kalangan B40.

“Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan MAINS bagi menambah dana menggunakan duit zakat bagi membina RHR untuk golongan asnaf yang dilaksanakan oleh PKNNS selaku peneraju,” katanya.

Selain dari inisiatif RHR itu, Kerajaan Negeri turut menjalankan beberapa inisiatif untuk rakyat di negeri itu, termasuk melancarkan projek rintis, pemberian tapak rumah berkeluasan minimum 4,000 kaki persegi bagi pembangunan rumah generasi Kedua dan Ketiga Felda yang tidak memiliki kediaman sendiri.

Projek itu, katanya akan membabitkan tanah rizab Kerajaan Negeri bagi menghargai peneroka.

Setakat ini sebanyak 100 lot rumah telah disediakan dengan perancangan untuk memperluaskan inisiatif itu di tanah rancangan Felda yang lain di seluruh Negeri Sembilan.

BACA JUGA APM sedia tambah anggota perkukuh organisasi