“Sebelum ini kamu kecam tak panggil, bila datang kamu hilang”

Tindakan pimpinan kerajaan negeri Terengganu yang dipimpin oleh Pas tidak menyambut dan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkunjung  ke negeri itu semalam kini dikecam oleh orang ramai.

Kecaman itu datang kerana sebelum ini Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri berkata, PM Anwar tidak pernah memanggil apa-apa mesyuarat untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

Kecaman Samsuri itu dibuat ketika berdialog dengan anak muda termasuk memberikan anugerah kepada pemain media sosial yang memenangkan Pas dan PN  dalam pilihan raya umum lalu.

“Sebelum ini kamu kecam PM. Sekarang dia datang kamu hilang,” kata seorang penulis, Norman Radzuan melalui akaun Facebook beliau.

PM Anwar ke Terengganu semalam bagi menghadap Tuanku Sultan Terengganu pada sebelah paginya.

Tidak ada seorang pun pemimpin negeri yang datang menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang ataupun menghantar kepulangan beliau sebagaimana tradisi apabila pemimpin Pusat datang ke sebuah negeri.

Dalam kunjungan ke Terengganu ini, Anwar hanya dilihat bertemu Datuk Mustafa Ali, bekas Setiausaha Agung Pas yang kini menjadi Pengerusi Hotel Primula di Kuala Terengganu.

Anwar berkunjung ke Hotel Primula bagi bertemu sahabat lama beliau, Datuk Mustafa Ali yang menjadi pengerusi hotel itu.

Dalam kunjungan ke Terengganu kali ini, Anwar bertemu dengan kakitangan kerajaan Persekutuan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Dalam pertemuan itu, Anwar berkata, dia sudah memaklumkan kedatangan beliau itu kepada kerajaan negeri Terengganu.

“Ini bukan kunjungan rasmi tetapi kunjungan untuk menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al Sultan dan kunjungan ini saya sudah maklumkan kepada kerajaan negeri,” kata Anwar dalam pertemuan dengan kakitangan kerajaan persekutuan itu.

Beliau juga menegaskan akan menjadi PM untuk semua bukan untuk sesetengah pihak sahaja.

Menteri Kesihatan dan Menteri Kerjaraya hadir ke majlis ini di samping Tengku Mahkota Kedah namun tidak ada pemimpin kerajaan negeri hadir sebagaimana tradisi.

Rupanya apa yang berlaku di Terengganu juga berlaku di Kedah.

Tidak ada seorang pun pemimpin kerajaan negeri yang datang ke majlis penyerahan Hospital Pendang dari Kementerian Kerjaya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia walaupun dihadairi oleh Sultan Kedah sendiri.

“Sultan (Tengku Mahkota) hadir, tetapi MB Nusi muka tak nampak. Sombong dan angkuh,” tulis seorang netizen, Mohd Rasyid di Facebook. Majlis itu dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Kerjaraya Alexander nanta Linggi.

Ketika bertemu anak muda, Samsuri mengecam Anwar kononnya tidak panggil beliau mesyuarat tetapi apabila Anwar ke Terengganu dia pula hilang.

Dalam majlis Dialog Anak Muda yang dianjurkan oleh Pas di Lembah Klang beberapa hari lepas, Samsuri berkata, “Dalam tempoh dua bulan yang ada ini, dari tempoh angkat sumpah PM X dan kabinet beliau, sampai sekarang satu mesyuarat pun tak pernah panggil.

“Tak pernah panggil menteri besar ke, ketua menteri ke. Hatta menteri-menteri mereka tak pernah panggil. Apa yang dibuat, wallahu aklam.

“Sampai rakyat dan negara berdepan dengan pelbagai masalah, padahal kalau kita nak selesaikan masalah rakyat, minggu pertama membentuk kerajaan sudah panggil,” kata Samsuri.

Sebelum ini, Samsuri dikecam hebat oleh rakyat negara ini kerana pergi melancong ke New Zealand ketika rakyat negeri berhadapan banjir besar.

Ketika itu, PM Anwar dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah turun sendiri dan mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk Terengganu dan Kelantan bagi membantu mangsa banjir.

 

BACA JUGA PM Anwar datang tapi pemimpin Pas Terengganu tak kenang budi