Altimet: Masa rehat dah habis

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang, Altimet menyifatkan ‘masa berehat’ kini sudah habis dan kesemua ahli parti perlu bekerja keras bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya akan melakukan yang terbaik dalam PRN Selangor demi memastikan kemenangan dapat dicapai.

“Saya rasa untuk ahli parti semua cabang khususnya cabang Ampang, masa rehat telah diberikan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Kita faham semua orang penat ketika itu yang melakukan pelbagai tugasan, tetapi pada hari ini, ia menandakan masa rehat sudah habis,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui di Konvensyen Pilihan Raya Negeri Selangor yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.

Altimet yang juga penyanyi rap, berkata demikian ketika ditanya mengenai PRN Selangor yang bakal diadakan nanti.

Terdapat dua kerusi DUN di kawasan parlimen Ampang dan kedua-duanya diwakili oleh wakil rakyat yang melompat keluar  dari PKR.

Bukit Antarabangsa diwakili oleh mantan timbalan presiden PKR Azmin Ali yang kini ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Lembah Jaya pula diwakili oleh Haniza Talha yang mengikut jejak langkah Azmin sebelum keluar sekali lagi untuk menganggotai Parti Bangsa Malaysia.