Hilang pekerjaan, lama terkurung ketika PKP dorong ramai bunuh diri

LAPORAN KHAS

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang beserta pelbagai sekatan sehingga ramai yang kehilangan pekerjaan menyebabkan peningkatan kes bunuh diri mencanak.

Rakyat Malaysia tidak dapat bertahan lama apabila terkurung dalam satu tempoh yang panjang, lebih-lebih lagi apabila langkah itu mengganggu sumber kewangan mereka, kata Dr B Venugopal, anggota Pertubuhan Khas Gabungan Kebangsaan untuk Kesejahteraan Mental (NCMW).

Pertubuhan tersebut merupakan usahasama Rotary Malaysia.

Itu sekurang-kurangnya pandangan diutarakan perunding pakar bedah jantung Dr B Venugopal di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.

Dr Venugopal adalah salah seorang anggota NCMW, yang ditubuhkan di bawah insiatif Rotary Malaysia untuk membantu rakyat  menangani masalah  berkaitan kesihatan mental.

DR VENUGOPAL…hilang pekerjaan, pendapatan jatuh, dipaksa bertahan dengan apa yang ada menjadi punca bunuh diri.

Dr Venugopal yang juga merupakan pakar runding bedah jantung di Hospital Pantai menengahkan banyak faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan kes bunuh diri mendadak ketika PKP. Antaranya termasuklah masalah kehilangan pekerjaan dan pendapatan pula berkurangan.

“Covid-19 adalah penyakit baru. Terdapat begitu banyak data yang bercanggah dan mengelirukan. Sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan ketika itu sangat menyesakkan.

“Orang ramai hilang pekerjaan, pendapatan jatuh. Mereka juga dipaksa bertahan dengan apa yang ada, kadangkala atas sebab yang salah. Akses kepada penjagaan kesihatan bagi pesakit bukan Covid-19 pula sangat terhad.

“Semua perkara ini amat meresahkan kebanyakan orang. Mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental adalah individu yang paling merasakan kesannya.

“Akhirnya, mengakhiri hidup dilihat sebagai satu pilihan yang mudah untuk mereka melepaskan diri dari masalah ini. Ia pilihan terakhir,” kata Dr Venugopal yang juga bekas presiden Persatuan Pengamal Perubatan dan Undang-undang (MLSM).

Masyarakat, pada pandangannya, merasakan bahawa kebergantungan pada bantuan orang lain dan meminta pertolongan orang adalah pemali. Justeru, ia mendorong individu untuk menamatkan riwayat hidup mereka sendiri.

“Saya merasakan semua isu ini menyumbang kepada peningkatan kes bunuh diri secara dramatik sepanjang Mac 2020 hingga Disember 2021,” katanya.

Pada masa sama, peruntukan bantuan kerajaan untuk rakyat tidak mencukupi, kata Dr Venugopal.

“Bagi kebanyakan orang, bantuan itu tidak mencukupi.

“Tempoh PKP menjadi faktor kerana kesukaran untuk berada di dalam rumah sepanjang masa, kadangkala di ruang sempit,” katanya lagi.

Dari sudut undang-undang pula, ada peruntukan di dalam Kanun Keseksaan yang menjenayahkan percubaan bunuh diri.

Kumpulan NCMW bersama kumpulan lain berusaha untuk memansuhkan Seksyen 309 yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Perkara ini pernah dibangkitkan oleh mantan menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pada 28 September tahun lalu, Khairy dilaporkan sebagai berkata bahawa kementeriannya telah menghantar memorandum kepada Kabinet untuk menghentikan pendakwaan dan penyabitan kes terhadap mereka yang cuba bunuh diri.

 

LAPORAN BERKAITAN

Kerajaan PN era Muhyiddin gagal bendung kematian tragis bunuh diri

Terkurung, tiada duit semasa PKP, faktor dorong bunuh diri – Doktor perubatan

PKP yang panjang: Mahiaddin mendapat laba, 1,660 rakyat bunuh diri