Khalid: Semoga penduduk Kampung Sungai Baru peroleh keadilan
Mantan calon parlimen Titiwangsa Khalid Samad mengucapkan penghargaan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menunda projek pembangunan semula di Kampung Sungai Baru agar rundingan semula boleh diadakan dengan mengambil kira kepentingan penduduk.
Beliau turut mengharapkan penyelesaian yang adil dan saksama dan dicapai demi kebaikan semua pihak.
“Saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap isu pembangunan Kampung Sungai Baru. Walaupun kerajaan mungkin berhak dan berkuasa, hak dan kuasa ini perlu digunakan secara adil dan bertanggung-jawab. Rakyat perlu dibela dan tidak dibuli,” kata Khalid yang juga adalah pengarah komunikasi Parti Amanah.
“Saya berharap penyelesaian yang adil dapat diusahakan secara ikhlas oleh kerajaan melalui rundingan dengan pemilik tanah dan pemaju. Pemilik tidak menentang pembangunan. Sebaliknya mereka ingin dilayani secara adil, sebagai pemilik sah dan bukan sebagai setinggan!”
Penduduk kampung tersebut merayu agar perdana menteri campur tangan dalam kes ini setelah gagal mencapai kesepakatan dengan pemaju. Para penduduk telah diberikan notis untuk berpindah sebelum ini.
Khalid turut menceritakan bahawa perkara ini dipandang enteng oleh kerajaan terdahulu, pimpinan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, meskipun majoriti rakyat yang terkesan adalah masyarakat Melayu Islam.
“Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Shahidan Kassim, dalam kamar khas Parlimen menjanjikan bahawa isu ini akan diselesaikan melalui “pakej Harmoni”, pendekatan win-win, namun amat mengecewakan.
“Pemilik terus dibuli dan Akta Pengambilan Tanah 1960 telah digunakan untuk merampas tanah mereka di tengah badaraya Kuala Lumpur ini dengan dijanjikan pampasan yang terlalu rendah. Pemilik dibuli oleh kerajaan PN/BN ketika itu.
“Oleh kerana pemilik adalah Melayu, maka dianggap mereka boleh diperlakukan sesuka-hati oleh kerajaan Melayu Islam. Amat jelas kerajaan Melayu Islam PN/BN pada ketika itu hanya bercakap tentang Islam dan Melayu tetapi menindas rakyat Melayu,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Beliau turut berharap bahawa kerajaan perpaduan ini dapat memulakan budaya politik baharu di mana kerajaan membela rakyat secara adil dan prihatin.