Rafizi: Rayu kepada lembaga rayuan parti, Tian Chua

Pemimpin PKR yang dipecat, Tian Chua dinasihatkan agar membuat rayuan melalui lembaga rayuan parti dalam masa 14 hari untuk beliau kembali bersama PKR selepas dipecat sebelum ini, kata timbalan presiden PKR Rafizi Ramli.

“Memang semua yang dipecat boleh merayu. Mengikut perlembagaan kita, semua yang dipecat boleh mengemukakan rayuan kepada lembaga rayuan.

“Saya cadangkan, kepada saudara Tian Chua kalau pun dia nak merayu kepada belas ihsan presiden parti, lebih baik dia juga melalui proses lembaga rayuan, sebab akhirnya keputusan itu akan dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” kata Rafizi yang juga ialah Menteri Ekonomi dalam kabinet.

“Tapi contohnya, kalau dia tak merayu, kemudian dia merayu terus kepada Presiden, nanti menjadi serba salah kepada yang lain yang kena pecat.

“Kita bagi ‘signal’ (isyarat) tak baik kepada ahli lain yang kita ada ‘double standard’ (pilih kasih),” katanya dalam sidang media selepas berucap pada Konvensyen Pilihan Raya Negeri Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.

Ini ekoran dari laporan di mana Tian membuat rayuan kepada presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima beliau kembali ke pangkuan parti.

Tian Chua merupakan antara lima ahli yang dipecat oleh lembaga disiplin parti kerana bertanding melawan calon pilihan parti dalam pilihan raya umum ke 15.

Beliau bertanding atas tiket Bebas di kawasan parlimen Batu menentang calon parti P Prabakaran tetapi kalah dalam pertandingan 10 penjuru.

Beliau juga merupakan mantan Ahli Parlimen Batu dan merupakan pemimpin PKR terawal sejak zaman reformasi dalam sekitar penghujung 1990-an.

 

BACA JUGA: Lima termasuk Tian Chua dipecat PKR kerana bertanding dalam pilihan raya