Kementerian Belia saran persatuan sukan cungkil bakat baharu

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan lebih banyak persatuan sukan berusaha untuk mencungkil lebih banyak bakat baharu dengan penganjuran pelbagai pertandingan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata pembangunan sukan harus dilakukan secara bersama antara pihak Kementerian dan persatuan sukan bagi melahirkan atlet pelapis pada masa akan datang.

“Usaha itu boleh dilakukan dengan pelbagai program atau pertandingan bagi mencari bakat baharu.

“Kami di KBS sentiasa komited memajukan sukan terutama dalam melahirkan ramai atlet muda untuk bersiang ke peringkat antarabangsa seterusnya mengharumkan nama negara.

“KBS ada merangka program mencungkil bakat baharu agar ada kesinambungan dan pelapis. Saya percaya dengan kerjasama persatuan sukan, lebih ramai bakat baharu terutama dalam bola sepak seperti R. Kogileswaran dapat dilahirkan,” jelas beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu.

Adam berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah kejohanan bola sepak ‘Road to Glory to Real Madrid 2023’ di Stadium Mini Permatang Rawa, di Bukit Mertajam pada Sabtu.

Kogileswaran atau Kogi, 24, bintang bola sepak muda yang bermain di peringkat kebangsaan kini menyertai kelab Korea Selatan, Chungbuk Cheongju FC selepas mengikat kontrak selama setahun bersama pasukan liga divisyen dua negara itu.

Mengulas lanjut, Adam Adli berharap bakat-bakat muda dapat mengikut jejak langkah Kogi jika diberi peluang dan tidak hanya memberi tumpuan untuk beraksi di negara sendiri apabila dewasa kelak.

BACA JUGA Keputusan import telur tindakan bijak, selesai bekalan, kawal kartel