KPKT lulus RM2 juta dua projek pasar di Perak

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membina pasar sementara Pasar Pasir Pinji dan menaik taraf Pasar Besar Ipoh di Perak.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata pelaksanaan bagi setiap projek bernilai RM1 juta itu akan memberi kemudahan dan manfaat kepada para peniaga dan pengunjung pasar khususnya penduduk setempat.

“Projek naik taraf Pasar Besar Ipoh yang bernilai RM1 juta akan melibatkan kerja-kerja baik pulih lantai pasar basah dan kerja-kerja yang berkaitan.

“Manakala Pasar Pasir Panji yang berusia lebih dari 50 tahun ini merupakan pasar lama yang uzur dan daif. Justeru, pembangunan semula pasar ini secara amnya dapat menyumbang kepada peningkatan tahap sosio-ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pembangunan semula ini dapat meningkatkan kualiti serta taraf kemudahan pasar dan perkhidmatan awam. Ia juga bakal mewujudkan persekitaran yang lebih selesa termasuk ruang parkir kenderaan yang mencukupi untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Pada masa yang sama, Nga Kor Ming turut menyerahkan surat kelulusan Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasar Pasir Pinji dan surat kelulusan Projek Naik Taraf Pasar Besar Ipoh kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai penempatan tapak perniagaan sementara buat 229 peniaga sehinggalah siap pembinaan Pasar Pasir Pinji yang baharu.

Menurut beliau lagi, KPKT bersedia untuk menimbang permohonan bagi membina semula pasar-pasar awam kepada MBI.

“Untuk makluman, MBI telah melaksanakan kerja-kerja naik taraf Pasar Tanjung Rambutan pada tahun 2013 dan Pasar Ayam serta parkir bertingkat Ipoh pada tahun 2017.

“Diharapkan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan dan naik taraf Pasar Pasir Panji dan Pasar Besar Ipoh ini akan memberi manfaat dan kebaikan kepada seluruh penduduk,” ujarnya.

BACA JUGA PRN Selangor: Amiruddin bunyikan semboyan perang untuk PKR

Â