Tiada pengundi hantu di PAU 2023

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan dakwaan mantan Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Khairy Jamaluddin berkenaan dengan pengundi hantu semasa usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan diluluskan dalam perhimpunan agung Umno (PAU) semalam.

“Mengenai tuduhan jahat dan fitnah konon ada perwakilan hantu dalam PAU 2022, saya telah meminta Pengerusi Tetap petang semalam sebelum pengundian, mengarahkan mereka yang bukan perwakilan (jika ada) keluar.

“Diyakini 100% tidak benar tuduhan liar itu,” kata beliau dalam satu kenyataan diciapkan di dalam akaun Twitternya.

Khairy merupakan antara pemimpin yang memasang niat untuk bertanding dalam pemilihan Umno. Pemimpin lain yang menyokong Khairy seperti Shahril Hamdan turut mempersoalkan usul tersebut. Walau bagaimana pun, hujahan beliau tidak mendapat sokongan majoriti.

Ahmad turut menjelaskan bahawa setiap ahli perwakilan menggunakan kad berserta gambar perwakilan sepanjang sesi persidangan berlangsung.

“Jiran-jiran kerusi perwakilan saling mengenali. Pengacara juga umumkan agar perwakilan duduk di kerusi masing-masing yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai satu klip video yang tular berkaitan kononnya wujud pengundi hantu.

“Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf sahkan itu adalah pegawai – pegawai Skuad Sabil di kalangan ketua pemuda yang telah diamanahkan untuk mengurus dan menjaga keharmonian dalam dewan dan luar Dewan Merdeka,” kata beliau merujuk kepada Datuk Dr Asyraf Wajdi.

Skuad Sabil Malaysia ialah badan beruniform yang diwujudkan di bawah pergerakan Pemuda Umno dan dianggotai oleh ahli Umno secara sukarela. Fungsinya menyerupai Unit Amal Pas.

Ahmad turut menjelaskan bahawa Bilik Terengganu di Pusat Dagangan Dunia dikhaskan untuk sekretariat Skuad Sabil.

Beliau turut menjelaskan bahawa usul tambahan yang dicadangkan oleh perwakilan Negeri Sembilan dibenarkan di bawah perkara 20 perlembagaan Umno. Perkara 20 adalah berkaitan dengan disiplin parti.

BACA JUGA Khairy, anda sudah terlambat