Agenda menjadikan Malaysia hebat
Apa yang wajar dijadikan fokus pada masa ini adalah agenda untuk menjadikan Malaysia sebagai negara hebat, bukan saja dari segi ekonomi tetapi politik dan sosial agar segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat.
Dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan disokong kebanyakan daripada rakyat yang dahagakan kestabilan, pembangunan, kemakmuran dan kemajuan, aspirasi untuk mencapai matlamat agenda ini diyakini boleh dicapai.
Sememangnya agenda ini perlu usaha dan memakan masa. Malah satu penggal terdiri daripada lima tahun adalah jangka waktu pendek tetapi ada sasaran-sasaran tertentu bagi menggerakkan negara ini keluar daripada kedudukan berupa ketinggalan ke belakang boleh dicapai.
Pada suatu masa Malaysia pernah dipandang hebat. Di tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, ketika Anwar turut berada dalam kerajaan, Malaysia sedang bergerak maju dalam kedudukan ekonominya dengan dijangka bahawa pada masa itu negara ini akan menjadi Harimau Asia kelima.
Empat negara Harimau Asia adalah Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan yang mencapai kedudukan itu setelah pesat membangun dari tahun 1960 hingga 1980.
Sementara pada tahun 1980-an, Malaysia, Thailand, Filipina dan Vietnam dianggap sebagai “Anak Harimau Asia” (Tiger Cub) yang sedang membesar untuk menjadi Harimau Asia dengan Malaysia paling ke depan untuk menjadi Harimau Asia kelima.
Maknanya jika Malaysia berjaya menjadi Harimau Asia ketika itu, maka akan ada enam Harimau Asia bersama Korea Selatan, Singapura, Taiwan dan Hong Kong.
Tetapi krisis kewangan Asia yang berlaku pada akhir tahun 1990-an memusnahkan harapan itu. Malaysia terkeluar daripada laluan untuk menjadi Harimau Asia kelima.
Krisis kewangan itu juga memukul Harimau Asia sedia ada terutamanya Korea Selatan. Selain Malaysia, “Anak Harimau” lain yang turut terpukul ialah Thailand dan Indonesia.
Tetapi apabila keadaan pulih selepas krisis itu, sekitar 2000-an dan 2010-an, ternyata di kalangan “Anak Harimau” itu didapati Vietnam dan Indonesia lebih dilihat menampil kemampuannya untuk lebih maju ke depan berbanding Malaysia.
Lebih-lebih lagi selepas Indonesia menjadi stabil pasca-Reformasi. Semasa Reformasi, Indonesia melalui transisi pedih dengan perubahan rejim serta pelaksanaan demokrasi yang semasa Suharto, ia telah dinafikan.
Dengan usaha bertubi-tubi menghapuskan korupsi, kolusi dan nepotisme, Indonesia muncul bersedia untuk menjadi “Anak Harimau” yang mampu mencapai kedudukan Harimau Asia.
Harimau Asia
“Harimau Asia” ini adalah istilah yang direka-reka untuk menggambarkan kedudukan ekonomi serta jangkaan masa depan sesebuah negara.
Dalam bahasa China dan Korea, istilah yang digunakan bukannya “Harimau” tetapi “Naga”. Jadi Naga Besar merujuk pada China. Sementara Naga Kecil ialah negara-negara Harimau Asia itu.
Sementara Jepun sudah menjadi negara maju dan tidak disebut sebagai naga. Lagipun pada mulanya “Naga Kecil” itu hanya merujuk pada Taiwan dan Hong Kong yang dari segi kedaulatan adalah sebahagian daripada China.
Jadi hanya Tanah Besar China dipandang sebagai “Naga” sebenar. Namun Korea Selatan dan Singapura berada di luar lingkungan kedaulatan China, maka istilah itu ditukar kepada Harimau Asia.
Selepas Krisis Kewangan Asia, Malaysia sukar untuk kembali kepada kedudukan asal sebelum tamparan ekonomi itu berlaku. Sudah tidak disebut-sebut lagi soal Harimau Asia. Sebaliknya para pemerhati antarabangsa, yang kebanyakannya dari Barat hanya gemar melihat Vietnam dan Indonesia.
Sebaliknya terhadap Malaysia hanyalah cerita-cerita mengenai korupsi, nepotisme, sederhana dan diskriminasi.
Sederhana di sini bermaksud suatu keadaan di mana kerja-kerja dan hasilnya berupa sederhana atau di bawah standard (sub-standard) yang dikaitkan dengan korupsi, nepotisme dan diskriminasi.
Gambaran-gambaran negatif ini menghakis keyakinan umum dunia dan mungkin boleh menjejaskan minat pelabur.
Ekonomi adalah tunjang untuk menjadikan negara ini hebat. Tetapi kehebatan yang perlu dicapai bukan hanya dalam ekonomi.
Perkembangan ekonomi, politik, sosial dan budaya
Pertumbuhan ekonomi yang hebat tetapi ia berbentuk bangunan-bangunan tinggi dan mewah di Kuala Lumpur yang tidak ada ertinya jika majoriti rakyat tidak turut sama dapat menikmati kehebatan negara.
Istilah Harimau Asia yang menampilkan kehebatan sesebuah negara tidak bermakna pada rakyat biasa jika kehidupan seharian mereka susah.
Bukan saja susah mendapat tempat kediaman kerana harga rumah begitu mahal tetapi mengalami asakan mental setiap hari kerana kesesakan lalu lintas.
Lebih-lebih lagi kemudahan awam seperti jalan raya dan tren yang tidak cekap dari segi penyenggaraan.
Dari segi pembangunan pula, kehebatan negara dapat dilihat bukan saja dalam bentuk bangunan-bangunan korporat, hotel-hotel dan kondominium mewah di bandar-bandar utama tetapi kemampuan negara memelihara hutan dan alam sekitar serta haiwan-haiwan yang hidup di dalamnya.
Begitu juga dengan adanya bangunan-bangunan untuk kemudahan kesihatan, pendidikan dan perniagaan adalah sebahagian daripada pembangunan yang diidamkan oleh rakyat.
Kehebatan negara juga melangkaui ekonomi. Dalam politik, hanya kestabilan yang berpanjangan membolehkan pencapaian agenda ini. Untuk itu, pelaksanaan proses demokrasi dengan menghormati mandat rakyat dalam kerangka perlembagaan negara.
Sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen apabila dilaksanakan dengan baik akan menjadikan negara ini hebat. Bukan semata-mata hebat semula seperti pada tahun 1980-an, tetapi lebih hebat daripada itu.
Tahun 2023 inilah boleh dijadikan permulaan bagi negara ini dalam perjalanannya untuk menjadi hebat. Agenda kerajaan pimpinan Anwar ini memberi harapan besar kepada rakyat.
Tetapi untuk memenuhi harapan ini memerlukan kerjasama kerajaan dan rakyat. Apa yang dimaksudkan dengan kerajaan termasuklah ahli politik berjawatan dan anggota perkhidmatan awam.
Selain ekonomi dan politik, kehebatan Malaysia juga boleh dilihat dari segi kemajuan sosial.
Dalam hal ini, ia bukan saja merujuk pada kebajikan masyarakat tetapi pembelaan terhadap golongan yang memerlukan pembelaan. Kesemua ini tentulah memerlukan polisi-polisi dan inisiatif kerajaan.
Jika rakyat negara ini sering mendengar ucapan atau kata-kata Perdana Menteri sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, mereka akan mendapati intipati aspirasi agenda beliau untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat.
Ternyata agenda Malaysia hebat ini turut melangkaui ekonomi, politik dan sosial. Ia juga menyentuh budaya. Perkara ini adalah yang paling sukar tetapi paling bererti.
Bayangkan kalau Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang bersih. Bukan saja bersih dari segi tiada sampah- sarap di jalan raya Kuala Lumpur, tetapi bersih dari segi integriti.
Maknanya rakyat negara ini dikenali sebagai bersih daripada korupsi dan penyelewengan. Tentulah perkara ini menandakan bahawa Malaysia berjaya menjadi hebat.
Dengan budaya hebat, ia juga akan melahirkan rakyat yang lebih kreatif dan inovatif. Untuk itu, ia juga memerlukan dasar dan inisiatif tertentu dari kerajaan.
Kreativiti bukan saja dari segi seni tetapi juga teknologi yang mampu diterjemahkan dalam bentuk industri.
Barulah ia turut menyumbang kepada kejayaan ekonomi. Kesemua ini barulah boleh menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat.
Agenda ini kelihatan mencabar Namun a bukan saja tidak mustahil dicapai, tetapi itulah satu-satu arah yang patut Malaysia tuju.
*ZIN MAHMUD ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia dengan pengalaman sebagai wartawan lebih tiga dekad.