Beli undi: BN cabar kemenangan PAS di Terengganu

Terkejut dengan aktiviti pembelian undi secara berleluasa, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan bahawa beliau dan Umno Terengganu akan mencabar keputusan pilihan raya umum ke -15 melibatkan tiga kerusi parlimen, termasuk Marang.

Umno ialah parti utama dalam Barisan Nasional (BN).

Selain Marang yang kekal di tangan Tan Sri Hadi Awang, petisyen membatalkan keputusan pilihan raya turut difailkan ke atas kerusi parlimen Kemaman dan Kuala Terengganu.

Datuk Seri Ahmad Said begitu terkejut dengan amalan pengagihan wang berleluasa sepanjang tempoh berkempen

“Sepanjang saya bertanding sembilan kali, saya tak pernah melihat wang berleluasa digunakan. Saya dapat maklumat pengundi luar ambil duit, duit bertimbun-timbun dalam bilik. Sebab itu saya pernah tanya dulu, dari mana datang duit ini yang begitu banyak,” katanya kepada pemberita di Menara Dato Onn hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa hanya tiga petisyen difailkan meskipun pembelian undi tersebut berleluasa dan melibatkan kesemua lapan kawasan parlimen di Terengganu. Ini kerana pasukan beliau menghadapi kesukaran mendapatkan saksi.

Beliau menegaskan bahawa politik wang ini dalam apa jua keadaannya, dari segi moral adalah salah kerana banyak bantuan diberi kerajaan negeri Terengganu dalam tempoh berkempen.

Pada masa sama beliau memberitahu bahawa Pas telah memberikan sejumlah duit kepada pengundi sekitar RM500 hingga RM1,000 supaya tidak mengundi BN atau tidak keluar mengundi langsung.

“Ketika hari mengundi, saya dapati hanya 70 peratus turun mengundi di Kemaman. Saya minta orang telefon pengundi untuk keluar…bukan sahaja telefon tidak diangkat, tetapi telefon ditutup terus.

“Ini menimbulkan kemusykilan yang teruk…rumah berkunci tapi dalam ada orang…Pas dah bayar RM500 hingga RM1,000 untuk setiap sebuah rumah.

“Mereka (pengundi) nak undi Umno, tapi dipujuk (supaya tak undi)…(Pas kata) nah ambil duit, jangan keluar (undi)..,” katanya lagi.

Selain Marang,kerusi Kuala Terengganu dimenangi oleh Datuk Ahmad Amzad Hashim manakala Kemaman oleh Che Alias Hamid. Ketiga-tiga calon didakwa merasuah dan menyogok pengundi untuk mendapatkan undi mereka

Peguam mewakili BN, Amin Othman berkata, setelah meneliti bahan bukti dan keterangan saksi pada pilihan raya yang lalu, pihaknya mendapati wujud asas untuk meneruskan petisyen bersandarkan dakwaan rasuah yang berlaku semasa tempoh berkempen dan hari mengundi.

“Kami terima arahan dari Badan Perhubungan Umno Terengganu dan calon-calon BN dan wakil calon yang bertanding di Terengganu pada PRU15 untuk memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan PRU di tiga Parlimen Terengganu,” kata Amin.

Berikut adalah perincian petisyen pilihan raya tiga kawasan parlimen tersebut:

Marang

Terdapat satu video tular yang mana pengundi berjumpa seseorang yang dikenalpasti sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Marang, memberi wang sogokan untuk mendapatkan undi. Penerima wang perlu mengangkat sumpah bahawa mereka akan mengundi Pas.

Bantuan i-Belia dan Siswa juga disalahgunakan untuk tujuan membelia undi. Bantuan i-Belia ialah bantuan yang diberikan kepada siswa dan anak muda yang diberikan golongan berumur 18 ke 39 tahun manakala i-Siswa ialah bantuan kewangan kerajaan persekutuan yang telah disalahgunakan.

Kuala Terengganu

Terdapat dakwaan sogokan wang kepada pengundi luar berjumlah di antara RM50 hingga RM150.

Terdapat beberapa dakwaan adanya penjamuan Deepavali semasa tempoh berkempen.

Kerajaan negeri Terengganu pimpinan Pas didakwa memberikan i-Siswa, i-Belia dan i-Pencen. i-Pencen ialah skim pembayaran pencen.

Kemaman

Pengundi luar menerima wang sogokan sebagai balasan undi kepada Pas. Wang turut diberikan menerusi i-belia dan i-siswa.

Sejumlah 20 saksi telah menampilkan diri untuk tiga petisyen di atas.