Ini bukan bunuh diri, tetapi pembunuhan

Ketika editor Harapandaily.com meminta menulis tentang ‘bunuh diri’, ia seperti satu percikan api dalam sekam pemikiran yang terpendam begitu lama.

Sememangnya sudah berselirat dalam benak kepala saya mengenai persoalan ini. Pernah saya menulis novel satira politik pada tahun 2016 yang bertajuk ‘Pembunuhan di Tanah Perkebunan’. Pada tahun 2006, saya menulis sebuah puisi bertajuk ‘Kaum yang terbunuh’ dan dideklamasikan di beberapa buah tempat.

Novel itu menceritakan tentang pembunuhan politik sekumpulan dalam sebuah organisasi yang telah kehilangan semangat perjuangan dan ukhwah. Akhirnya, pembunuhan adalah jalan terakhir bagi mengekalkan kekuasaan.

‘Kaum yang terbunuh’ pula adalah puisi yang membangkitkan kesedaran tentang peri pentingnya pendidikan dan agama sebagai jiwa dan identiti kepada sesuatu kaum.

Salah satu rangkap puisi saya berbunyi:

Rela membunuh sesama rumpun

Mencabut damai

Memenjara lelayang

Yang bebas berterbangan

Suara ini semakin pudar

Hilang sudah susilanya

Mencari kata-kata yang sukar diberi makna.

 

Klik untuk lihat video

Untuk kesekian kalinya, saya menulis tentang ‘bunuh diri’. Secara literal, memang bukan soal ‘terbunuh’ atau ‘pembunuhan’. Harus juga melihat dari aspek yang melangkau naratif dan angka sedia ada kepada sudut yang lebih luas dan menyeluruh.

Sering yang ditunjuk jari kepada persoalan bunuh diri adalah empunya diri. Kepada yang telah mati. Atau paling tidak, ahli keluarga yang terdekat akan juga dikaitkan.

Sepintas lalu, seperti tiada kaitan dengan kita yang masih bernyawa dan mampu menghirup udara dan berfikir.

Hakikatnya ini bukan persoalan orang lain. Ini adalah mauduk yang berkait rapat dengan diri kita sendiri. Diri sebagai manusia yang bermasyarakat dan bernegara. Diri sebagai insan yang mempunyai naluri jiwa dan manusiawi.

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), kematian akibat membunuh diri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah 1,660 jiwa. Jumlah tersebut adalah kenaikan secara mendadak sebanyak 81 peratus pada tahun 2021 berbanding setahun sebelumnya.

Jumlah itu tentu sekali tidak termasuk mati yang disebabkan virus itu sendiri yang dicatatkan mencecah lebih 30 ribu kematian sehingga kini.

Ketika jumlah kematian berada kemuncak, juga dicatatkan bahawa bunuh diri juga meningkat. Pada ketika itu, jumlah kematian akibat Covid 19 sehari sama dengan jumlah penumpang pesawat Boeing 373 yang jatuh terhempas. Entah berapa Boeing 373 yang terhempas.

Setelah waktu bersilih ganti, tragedi tersebut bagai tiada apa-apa yang berlaku. Apakah itu satu petanda kematian rasa dan hilangnya jiwa insani dalam diri?

Kematian demi kematian akibat langsung Covid 19 tidak boleh dianggap sekadar angka dan data semata. Sama juga dengan kematian akibat bunuh diri.

Malaysia melaksanakan tempoh PKP yang dikatakan paling lama di dunia. Rakyat terpasung dalam rumah dan dipenjara di daerah sendiri. Hilang pekerjaan, tenggelam punca pendapatan, kesunyian, kemurungan dan seribu satu tekanan perasaan yang membuka lorong-lorong kelam dalam kehidupan. Di dalam kegelapan itulah berlakunya segala langkah syaitan bertopeng ayam.

Politikus yang berkuasa berkeliaran bebas berselingkuh dan memperkudakan virus demi terus menggenggam kuasa.

Kesan pendekatan dan keputusan kerajaan semasa PKP tidak hanya persoalan angka dan data yang dikongsi dalam media. Kesan langsung boleh dilihat pada mata kasar. Namun rantaian kesan jangka pendek dengan jangka panjang, mungkin lebih menakutkan.

Tahun-tahun selepas jatuhnya kerajaan yang dipilih oleh rakyat, adalah tempoh malang buat tanah air dan zaman paling sukar dalam bernegara sejak merdeka. Ramai di kalangan kita mungkin kehilangan ahli keluarga terhampir, sahabat handai, jiran tetangga dan kenalan akibat Covid 19.

Memikirkan tentang mentaliti dan keghairahan ahli politik korup dengan kuasa hingga hilang kebijaksanaan memimpin, kita tidak boleh kehilangan kata dan kudrat melawan kerakusan ini.

Sebagai penulis, darah adalah dakwat. Bait-bait kata penyair adalah azimat.

Kembali mengingatkan episod-episod dalam novel roman ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijck’ karya Hamka, dua watak utamanya mati dengan penuh tragik. Hayati mati lemas di laut. Zainuddin pula mati kerana menanggung derita kesedihan kematian kekasihnya, Hayati.

Malang nasib Zainuddin dan Hayati adalah akibat dasar masyarakat yang terkongkong dengan adat dua darjat yang jauh dari nafas keagamaan tetapi disaluti dengan ayat-ayat suci. Zainuddin dan Hayati sepasang kekasih yang dipisah dan disengsarakan oleh dasar dan pegangan pemimpin masyarakat.

Samada kematian Zainuddin, Hayati, atau ribuan angka yang disebut sebagai membunuh diri lazimnya dianggap sebagai suatu ketentuan takdir Tuhan. Sebagai umat beriman, ramai yang menerimanya dengan penuh kesabaran dan meneruskan kehidupan selanjutnya tanpa soal.

Hamka membawa cerita kematian sepasang kekasih di tengah-tengah masyarakat yang telah hilang kebijaksanaan memimpin. Jiwa dan semangat memimpin rakyat telah mati. Hamka menggunakan cerita cinta Zainuddin dan Hayati bagi menghidupkan semangat untuk hidup mengubah masyarakat. Bukan menjadi manusia yang pasrah pada peraturan manusia dan adat masyarakat.

Dasar dan pendekatan pemimpin yang memegang tampuk kekuasaan memberi kesan besar terhadap kehidupan manusia. Dasar dan pendekatan yang betul, tepat dan sesuai dapat mewujudkan satu persekitaran masyarakat dan negara yang aman serta sejahtera.

Bunuh diri bukanlah pilihan. Ia adalah jalan yang dipaksakan.

Itu bukan bunuh diri tetapi adalah satu pembunuhan!

 

BACA JUGA Hilang pekerjaan, lama terkurung ketika PKP dorong ramai bunuh diri

JUGA Terkurung, tiada duit semasa PKP, faktor dorong bunuh diri – Doktor perubatan

DAN JUGA PKP yang panjang: Mahiaddin mendapat laba, 1,660 rakyat bunuh diri

TONTON Video Di Sini