Kerajaan Pulau Pinang martabatkan agama Islam

Kita sering dimomokkan dengan isu yang kononnya laungan azan tak dibenarkan dan diharamkan di Pulau Pinang di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang didominasi oleh Parti DAP itu.

Masih ingat lagi beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, ada seorang artis terkenal tanah air yang juga turut “termakan” dengan naratif jahat pihak lawan ini sehingga video beliau mengulas isu azan di Pulau Pinang ini tular di media sosial.

Pun begitu, selang beberapa hari kemudian, beliau tampil membuat video permohonan maaf atas kesalahan fakta yang beliau terima dan kongsikan.

Ya, itulah contoh naratif jahat yang pihak lawan gunakan untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu Islam di luar Pulau Pinang.

Sedangkan, masyarakat pelbagai kaum yang menetap di Pulau Mutiara tersebut bahagia dan hidup aman damai tanpa sebagai isu perkauman.

Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang kini telah mentadbir selama tiga penggal juga nampaknya telah banyak membawa perubahan positif kepada negeri tersebut.

Malah, nasib golongan Melayu Islam di Negeri Pulau Mutiara itu juga dibela dan sentiasa diutamakan.

Peruntukan RM75.08 juta untuk umat Islam dalam Bajet 2023

Sebagai komitmen untuk menjamin kesejahteraan kehidupan umat Islam, Kerajaan Negeri Pulau Pinang meningkatkan peruntukan bagi tujuan tersebut kepada RM75.08 juta dalam Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2023.

Semasa membentangkan bajet tersebut, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan tersebut adalah termasuk bagi tujuan pembangunan institusi Islam, bayaran bantuan pendidikan.

“Kerajaan Negeri akan terus komited memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan memperkasakan syiar Islam di negeri Pulau Pinang.

“Peruntukan ini merangkumi pembangunan bagi tujuan pembinaan, pembaikan dan naik taraf masjid, surau dan sekolah agama, bayaran bantuan pendidikan untuk sekolah agama, bayaran guru KAFA dan pegawai masjid,” katanya seperti dipetik Buletin Mutiara.

Tambahnya lagi, Pulau Pinang juga telah dipilih sebagai tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023, dan sebanyak RM3.53 juta telah diperuntukan bagi tujuan tersebut.

Penubuhan PIDL dan Al-Hady Centre

Penubuhan Perpustakaan Digital Islam Pulau Pinang (PIDL) dan Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang, Al-Hady Centre menyerlahkan lagi komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan kedudukan umat Islam di negeri ini

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata Kerajaan Negeri saling bekerjasama dengan KITAB (Kolej Islam Teknologj Antarabangsa Pulau Pinang) bagi mengendalikan kedua-dua institusi baharu tersebut.

Usaha ini juga menyerlahkan lagi usaha Kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan selama ini dalam memartabatkan kedudukan umat Islam dan institusi-institusi berkaitan di Pulau Pinang.

RM1.6 juta peruntukan untuk Yayasan Islam Pulau Pinang

Pada April 2022 lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyerahkan peruntukan tahunan berjumlah RM1.6 juta kepada Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP).

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, pemberian peruntukan dalam bentuk geran tahunan itu adalah bagi membantu melicinkan operasi YIPP termasuk penganjuran kepelbagaian program berkaitan agama Islam di negeri tersebut.

YIPP merupakan agensi Kerajaan Negeri yang diletakkan di bawah kawal selia Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Pengurus besar YIPP, Mohd. Fitri Ibrahim berkata, peruntukan tersebut telah meningkat sebanyak RM500,000 berbanding tahun sebelumnya. Beliau juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas pemberian peruntukan tahunan tersebut.

Inilah bukti bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa membela dan berusaha untuk meningkatkan martabat umat Islam di negeri tersebut.

Dan terbukti, naratif jahat yang dimainkan oleh pihak lawan terutamanya bagi menyerang parti DAP secara peribadi adalah semata-mata untuk menakut-nakutkan umat Islam selain untuk memecah-belahkan rakyat Malaysia.