Penjawat awam jangan takut lapor salah laku
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua peringkat penjawat awam supaya tampil melaporkan segala perbuatan salah laku pihak atasan yang didapati melanggar undang-undang.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, penjawat awam tidak perlu takut berbuat demikian memandangkan Malaysia tidak boleh menuju sebagai sebuah negara maju jika terdapat terlalu banyak kebocoran.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, ketirisan yang begitu banyak melibatkan pemberian komisen terlalu tinggi dan harga tidak berpatutan dalam mengendalikan kontrak kerajaan menghalang Malaysia untuk menuju sebagai sebuah negara berjaya.
Anwar berkata demikian pada sesi Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Januari di Putrajaya, pagi tadi.
Beliau turut memaklumkan melihat banyak keterlanjuran berkaitan ketirisan terutama di peringkat penguatkuasaan di Kementerian Kewangan.
Walau bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, salah laku itu tidak boleh disalahkan kepada penjawat awam kerana terdapat minit mesyuarat adalah arahan terus daripada menteri.
Sehubungan itu, Anwar berharap penjawat awam bersuara melawan ketidakpatuhan sekurang-kurangnya haruslah dimaklumkan terlebih dahulu sekalipun arahan-arahan tersebut dikeluarkan oleh beliau sendiri.
“Apa yang ingin saya tekankan adalah dari segi penguatkuasaan. Apa yang telah saya pelajari, terutamanya di Kementerian Kewangan, banyak fail-fail, banyak keterlanjuran. Nak salahkan pegawai, namun jika arahan dari menteri, apatah lagi perdana menteri, dia patuh.
“Apatah lagi kalau melibatkan pegawai-pegawai di pejabat saya (JPM) dan menteri-menteri. Sebab tu arahan pertama saya dan minta menteri-menteri beri kerjasama adalah semua Setiausaha Sulit Kanan (SUK) dan Ketua Setiausaha Kementerian (KSUK) di Pejabat Perdana Menteri harus dari kalangan pegawai tadbir diplomatik (PTD).
“Ini adalah supaya penyelarasan yang dilakukan itu baik kerana jika dari bahagian yang lain dia akan kurang paham,” ujar Anwar lagi.
Baca juga Seimbang antara kempen digital dan akar umbi