Pusat akan bantu Perlis berdiri sendiri, kata PM Anwar

Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membantu kerajaan negeri Perlis bagi membolehkan negeri itu berdiri sendiri dan bukan terus bergantung kepada bantuan daripada Pusat lagi.

“Saya akan meminta agensi kerajaan pusat untuk datang dan membantu kerajaan negeri untuk memberikan hasil yang lebih baik samada dalam bidang pertanian, pelancongan, industri, inland port (pelabuhan darat) yang boleh menjana pendapatan,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam majlis amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam di Perlis hari ini yang diadakan di Dewan 2020, Persiaran Wawasan, Kangar.

Anwar berucap kepada kakitangan awam di Dewan 2020, Kangar.

Bagi Anwar, dengan kedudukan sekarang, segala pinjaman yang diberikan kepada Perlis sukar untuk dibayar balik oleh negeri itu berdasarkan pendapatannya.

“Bila Pusat bagi, kita tak fikir boleh bayar balik (hutang itu). Dari segi realitinya, tidak memungkinkan bayar balik,” kata Anwar merujuk bantuan yang diberikan kerajaan Pusat kepada Perlis saban tahun.

Untuk permulaan, kata Anwar, beliau akan berbincang mengenai pembangunan di negeri-negeri utara dalam mesyuarat Pembangunan Koridor Utara yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Saya telah putuskan mesyuarat Koridor Utara ini akan diadakan di Kangar di mana seluruh pemimpin dan jentera pusat kena turun dan terserah kepada kebijaksanaan MB untuk tawan mereka,” kata Anwar.

Pada 12 Disember lalu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menjadi ketua negeri yang pertama mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“(Ini pertemuan) biasa sahaja, (bincang) masalah kerajaan negeri Perlis,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan kepada Bernama selepas pertemuan lebih satu jam itu.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai projek pembangunan di negeri Perlis.

“Pertemuan baik… Alhamdulillah, banyak sokongan daripada Perdana Menteri,” katanya.

BACA JUGA Penyokong tuntut PM Anwar ajar kesombongan pemimpin Pas Terengganu