Seimbang antara kempen digital dan akar umbi

Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya menyedari pentingnya pendekatan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan turut memberi tumpuan pada pemimpin di akar umbi.

Menurutnya, fokus kepada usaha pembangunan dan keupayaan pemimpin setempat itu adalah penting bagi menjawab isu-isu rakyat sekali gus mengetengahkan isu yang dihadapi di peringkat akar umbi.

“Sudah pasti untuk kempen (PRN) pada kali ini, kami akan mempertingkatkan capaian kami dalam bentuk kempen digital.

“Walaupun kami lakukan juga sebelum ini (kempen digital), tetapi (berdasarkan) pengalaman, kami perlu seimbang antara digital dan juga apa yang berlaku di akar umbi.

“Melihat kepada beberapa lokaliti yang saya menangi dalam pilihan raya lepas membuktikan bahawa bukan sahaja kempen digital (penting) tetapi juga kewujudan pemimpin-pemimpin setempat yang berfungsi dengan baik dan efisien, akan banyak membantu,” ujarnya dipetik Bernama.

Menteri Besar Selangor itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program hi-tea bersama masyarakat Tiong Hua Hulu Kelang semalam.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor berkenaan berkata usaha tersebut juga mampu memberi kesan menyeluruh kepada parti sepanjang tempoh berkempen hingga ke hari mengundi.

Selangor antara tiga negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) selain Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang akan menghadapi PRN.

PRN tahun ini bakal menyaksikan PH bersaing dengan Perikatan Nasional (PN) walaupun terus mendapat majoriti kerusi Parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

PH Selangor mendepani PRN dengan kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan pasca PRU15.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, PH dan BN berpotensi untuk menawan kira-kira 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Selangor jika kedua-duanya bergabung.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan dapatan awal menerusi keputusan PRU15 dengan 40 kerusi DUN memihak kepada PH.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan turut meramalkan PH Selangor akan mempertahankan kemenangan di semua 40 kerusi gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (AMANAH) itu juga menjangkakan, DUN Selangor bakal dibubarkan Mei ini dengan PRN bakal diadakan pada bulan berikutnya.

Pada PRU14, BN memenangi empat daripada 56 kerusi dipertandingkan ketika itu.

Bersatu yang bertanding menggunakan logo PKR pula menang enam kerusi DUN, manakala Pas yang kini menganggotai blok PN hanya memenangi satu kerusi.

Baca juga PRN Selangor: Amiruddin bunyikan semboyan perang untuk PKR