Malaysia tidak akan maju jika konflik perkauman berpanjangan

Malaysia tidak akan maju sekiranya konflik perkauman berlarutan, tegas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, kesepakatan kaum adalah penting diberi keutamaan dalam usaha membangunkan negara ini.

“Kita bersyukur kerana Malaysia tidak berada dalam keadaan rusuhan dan peperangan seperti yang terdapat di negara lain.

“Tapi percayalah Malaysia tidak akan maju, aman dan tenang seperti sekarang jika terdapat konflik perkauman yang berpanjangan.

“Justeru, saya berharap kedatangan tahun baharu ini akan menguatkan lagi azam semua pihak supaya berusaha mengukuhkan lagi hubungan antara kaum,” ujarnya di Perumahan Awam Sri Sabah, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penyerahan sumbangan wang tunai kepada komuniti Tionghua sekitar Bandar Tun Razak, Cheras sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Untuk rekod, kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengeksploitasi naratif dan persepsi perkauman.

Media sosial yang menjadi medium utama golongan pengundi atas pagar dan pengundi muda dilihat dibanjiri propaganda malah sentimen kebencian bermotifkan perbezaan kaum dan agama.

Dalam majlis yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini, seramai 100 penduduk menerima bantuan wang tunai, biskut raya dan set makanan.

Penerima terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang terpilih sekitar Bandar Tun Razak.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah memaklumkan bahawa program sumbangan tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan pihak DBKL.

Kesemua 100 penerima telah dipilih melalui sistem e-Kasih bagi mereka yang layak dan menetap di Perumahan Awam atau Projek Perumahan Rakyat DBKL.

Inisiatif tersebut katanya bertepatan dengan visi DBKL bagi menjadikan Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, Bandar Raya yang inklusif untuk semua.

“Pada pagi ini, penerima akan menerima wang tunai berserta goodies seperti biskut raya dan set peralatan makanan.

“Saya berharap, dengan bantuan ini, ia dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga bagi menyambut Sambutan Tahun Baharu Cina nanti.

“Saya yakin tahun 2023 akan membawa sinar baharu kepada kita semua sebagai negara yang berbilang bangsa untuk bersama-sama berusaha melakar Kuala Lumpur yang lebih dinamik dan berdaya saing,” katanya lagi.

Baca juga Agenda menjadikan Malaysia hebat