Belum ada kenyataan rasmi tindakan pegawai ceramah kutuk kerajaan – Jakim

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih tidak mempunyai kenyataan rasmi berhubung tindakan terhadap seorang pegawainya yang dilaporkan berceramah mengutuk kerajaan perpaduan di sebuah masjid di Selangor baru-baru ini.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Norzaidan Hamad berkata setakat ini tidak sebarang maklumat lanjut berhubung perkara tersebut.

“Jika ada maklumat rasmi daripada Jakim, kami akan beritahu,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily di sini pada Selasa.

Terdahulu tular rakaman video yang dimuat naik di media sosial memaparkan ceramah seorang Penolong Pengarah Kanan Jakim mengutuk kerajaan perpaduan di sebuah masjid di Selangor pada 2 Januari lalu.

Ceramah itu mencetus kontroversi apabila pegawai Jakim tersebut menyentuh perihal lagu ‘Hoi, Hoi Ya Hoi’ yang dijadikan bahan politik pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15.

Tindakan berkenaan mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen yang mengecam penceramah itu kerana menjadikan masjid sebagai gelanggang berpolitik dan mengutuk kerajaan.

Susulan insiden itu, Jakim dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap seorang kakitangannya berhubung video ceramah tular itu.

Jakim menerusi kenyataan pada 5 Januari lalu memaklumkan pegawai berkenaan sudah pun dipanggil untuk siasatan lanjut.

Katanya, Jakim juga sudah memulakan prosiding tatatertib terhadap pegawai berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.

Â